Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Saksi khalwat Norman-Memey tukar kenyataan


NORMAN Hakim dan Memey Suhaiza keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di Keramat, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 25 Jun – Seorang penguat kuasa agama yang menangkap pelakon Norman Hakim dan pasangannya, Memey Suhaiza setelah disyaki berkhalwat, akhirnya hari ini menukar keterangannya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini bahawa dia adalah saksi yang boleh dipercayai.
Rezman Abdullah, 40, berkata sedemikian ketika disoal oleh Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi di hadapan Hakim Syarie Salehan Yatim.
Muhamad Nazri: ‘‘Adakah kamu bersetuju dengan keterangan sebelum ini bahawa kamu seorang pelukis pelan lakar yang tidak boleh dipercayai?’’
Rezman: ‘‘Tidak bersetuju.’’
Sebelum itu, kredibiliti Rezman sebagai penguat kuasa selama 15 tahun telah dipertikaikan oleh peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan apabila dia gagal menjawab soalan dengan betul berhubung seksyen yang digunakan untuk mendakwa Memey.
Soalan tersebut bagaimanapun tidak diteruskan oleh peguam ekoran bantahan Muhamad Nazri.
Pada 4 Jun lalu, Rezman yang merupakan saksi kelima, diasak bertubi-tubi dengan pelbagai soalan oleh Fakhrul Azman hingga menyebabkan saksi mengakui bahawa keterangannya tidak boleh dipercayai.
Norman Hakim dan Memey Suhaiza yang sedondon berpakaian hitam dan putih terlewat menghadiri prosiding hari ini.
Perbicaraan yang sepatutnya bersambung pada sesi petang, ditangguhkan setelah mahkamah dimaklumkan bahawa saksi keenam, Muhamad Yusri Abd Razak tidak dapat hadir kerana berada di Pekan, Pahang atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Mahkamah akan mendengar keterangan saksi seterusnya pada prosiding 30 Julai, 13 Ogos dan 20 Ogos ini.
Norman dan Memey dibicarakan atas tuduhan berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak di antara pukul 1.45 pagi dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.
Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey pula dituduh di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

No comments:

Post a Comment