Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Rumah dihempap batu




MELAKA 25 Jun - Seorang ibu tunggal terpaksa melalui saat-saat mencemaskan apabila dinding dapur rumahnya di Taman Rumah Merah, Bukit Serindit, di sini, hari ini, dihempap satu bongkah batu bukit seberat lebih satu tan.
Ketika kejadian yang berlaku pada pukul 1.30 petang itu, ibu dua anak tersebut, Wong Bee Lian, 48, dan kakaknya, Wong Siew Lian, 53, sedang berada di ruang tamu rumahnya.
Menurut Bee Lian yang bekerja sebagai tukang jahit, mereka telah dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sehingga menggegarkan dapur rumahnya.
"Saya kemudian berlari ke dapur dan terkejut apabila mendapati dinding telah retak sehingga ke lantai.
"Rupa-rupanya bunyi itu disebabkan oleh satu batu granit besar yang jatuh dari tebing bukit di belakang," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Menurutnya, nasib baik kedua-dua anaknya tiada di rumah kerana bersekolah ketika kejadian itu.
Tambahnya, ia merupakan kejadian kali ketiga rumahnya dihempap bongkah batu besar yang jatuh dari tebing bukit Tanah Perkuburan Kristian Bukit Serindit, di belakang rumahnya itu.
"Kali pertama rumah dihempap batu adalah 10 tahun lalu dan kali kedua kira-kira empat tahun lalu.
"Saya kesal kerana sehingga kini tiada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa untuk mengatasi masalah itu," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian hari ini mendapati, hakisan tanah berlaku di sepanjang tebing bukit setinggi kira-kira 10 meter itu yang jaraknya kurang lima meter dengan rumah penduduk.
Bee Lian menambah, keadaan hakisan di tebing bukit tersebut diburukkan lagi apabila musim hujan.
"Saya takut kalau tidak ditarah bukit itu, tidak mustahil rumah saya boleh musnah dihempap batu-batu besar lain yang boleh runtuh pada bila-bila masa saja," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyung, Datuk Gan Tian Loo yang meluangkan masa melawat Bee Lian berkata, masalah itu pernah beberapa kali mendapat perhatian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum ini.
Namun katanya, sehingga kini kerja-kerja merendahkan tebing bukit tersebut belum dapat dilaksanakan kerana keadaan jalan yang sempit menyukarkan jentera berat memasuki taman itu.
"Sebelum ini memang kita ada tebang pokok-pokok besar di tebing bukit ini kerana dikhuatiri menghempap rumah penduduk.
"Kita harap penduduk bersabar sementara kita mencari jalan penyelesaian lain untuk mengatasi masalah tanah runtuh termasuk kemungkinan membina tembok penahan hakisan tanah," katanya.

No comments:

Post a Comment