Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Pulang berdarah



IPOH: Gara-gara enggan beredar daripada majlis perkahwinan, seorang lelaki terencat akal bernasib malang apabila dipukul dengan botol minuman keras dan kerusi oleh tiga lelaki dipercayai samseng di kampungnya menyebabkan mangsa menerima enam jahitan di kepala selain cedera di kedua-dua bahu.
Difahamkan, mangsa berada pada majlis itu kerana mahu membantu mengemaskan peralatan perkahwinan termasuk menyusun kerusi dan meja di tokong di kampungnya.
Bagaimanapun, tiga lelaki datang menghampiri mangsa dan mengarahkannya beredar sebelum mangsa dipukul dengan teruk kerana enggan mematuhi arahan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam pada 17 Jun lalu di tokong di Kampung Sungai Durian, Tanjung Tualang, Batu Gajah, mangsa dikenali Tham Phan Keong, 30,cedera teruk di kepala dan bahu selepas dipukul tiga lelaki terbabit.
Ibu mangsa, Chong Kiau Moy, 66, berkata, anaknya pulang dalam keadaan kepala berdarah, selain cedera di bahu kira-kira jam 10.30 malam pada hari kejadian.
Menurutnya, anaknya itu mendakwa dipukul individu dikenali di kampungnya sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Tualang pada hari berikutnya untuk rawatan.
Saya tidak tahu punca anak saya dipukul begitu teruk. Setahu saya, anak saya tidak pernah mengancam keselamatan orang lain tambahan lagi keadaannya yang terencat akal.
Memang anak saya pernah menimbulkan masalah kepada penduduk kampung selain pernah ditahan polis kerana didakwa terbabit dalam beberapa pergaduhan, katanya.
Bagaimanapun, katanya, sepanjang pengetahuannya, anaknya itu tidak menimbulkan masalah jika tidak diganggu.
Menurutnya, berikutan kejadian itu, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Tanjung Tualang sehari selepas kejadian itu.
Bagaimanapun, saya kesal kerana polis masih tidak mengambil sebarang tindakan terhadap tiga lelaki yang memukul anak saya itu, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.
Katanya, pihaknya menunggu bahagian pendakwaan selesai meneliti kertas siasatan kes itu sebelum polis menahan ketiga-tiga suspek untuk siasatan lanjut.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment