Search This Blog

Thursday, June 17, 2010

Pemilik kilang plastik didakwa rasuah pengurus TNB RM30,000



17/06/2010 4:55pm

SHAH ALAM— Seorang pemilik kilang plastik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi suapan RM30,000 kepada seorang pengurus kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tidak dikenakan tindakan kerana mencuri arus elektrik.
Lim Hong Liok, 60, didakwa memberi suapan wang tunai itu kepada Rumaizi Mohd Amin, Pengurus Kanan (Intelligence & Investigation Unit) TNB, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh kerana melakukan kesalahan mencuri arus elektrik di kilang miliknya Central Production Sdn Bhd di Lot 6629, 2 KM, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik air lelaki lobi Hotel Crystal Crown, 12, Lorong Utara A Off Jalan Utara, Petaling Jaya, kira-kira pukul 1 tengahari, 28 April lepas.
Lim didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Lim dibebaskan dengan jaminan RM15,000 serta seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan selama tiga hari bermula 22 Nov depan.
Mahkamah turut menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan bagi penyerahan dokumen kepada pihak pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Mohd Josiendra Abu Senin hadir bagi pihak pendakwaan sementara Lim diwakili peguam Datuk Abdul Ramman Saad. — Bernama

No comments:

Post a Comment