Search This Blog

Wednesday, June 16, 2010

Pelajar Afrika dalang skim cepat kaya diberkas


KUALA LUMPUR 15 Jun - Siasatan polis mendapati tiga daripada empat suspek warga Afrika yang terlibat dalam sindiket skim cepat kaya dan pengedaran wang palsu yang ditumpaskan di Ampang, Khamis lalu, merupakan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Suspek-suspek berusia 22 hingga 30 tahun yang berasal dari Cameroon dan Nigeria itu disyaki menjalankan skim tersebut dan pengedaran wang palsu bagi menyara hidup mereka di negara ini.
Bagaimanapun kegiatan mereka terbongkar apabila gagal menipu seorang suri rumah berusia 53 tahun melalui pelaburan dan penggandaan mata wang asing di dalam skim cepat kaya berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, bertindak atas laporan mangsa, polis menahan seorang suspek berusia 27 tahun di sebuah pusat beli-belah di Jalan Ampang.
"Hasil siasatan terhadap suspek terbabit, polis dibawa ke sebuah rumah di Sunrise Park, Kampung Baru Ampang, pada keesokannya.
"Pemeriksaan terhadap rumah yang didiami tiga lelaki warga Cameroon dan Nigeria itu, kita menemui wang kertas RM50 palsu sebanyak 8,400 keping serta wang kertas dolar Amerika palsu iaitu AS$100 (4,200 keping), AS$50 (120 keping, AS$20 (30 keping) dan AS$10 (80 keping).
"Kesemua wang palsu tersebut bernilai RM1.8 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Akhbar tempatan hari ini melaporkan satu sindiket skim cepat kaya dan pengedaran wang palsu yang didalangi empat lelaki warga Afrika ditahan selepas memperdayakan seorang suri rumah.
Dalam kejadian itu mereka pada mulanya membuat tawaran kepada wanita terbabit menerusi talian telefon sebelum melarikan wang simpanannya sebanyak RM17,000.
Izany memberitahu, polis juga sedang menyiasat dokumen perjalanan warga-warga asing itu menerusi kedutaan negara masing-masing.
Beliau menambah, keempat-empat suspek telah direman selama 14 hari mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment