Search This Blog

Thursday, June 17, 2010

Pasangan kekasih Indonesia mati ditetak suami wanita



KUALA LUMPUR - Seorang wanita Indonesia yang sudah berkahwin dan teman lelakinya mati, dipercayai ditetak suaminya dengan pisau celoret di sebuah hotel bajet di Sentul di sini awal hari ini.

Seorang lelaki lain yang cuba membantu pasangan itu turut diserang dan kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kesemua mangsa dan suami wanita itu yang kini diburu polis adalah warga Indonesia, kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan.

Dalam kejadian pukul 5 pagi itu di hotel yang terletak di Batu 3 1/2, Jalan Ipoh, wanita terbabit yang dikenali sebagai Halimah, 20, ditemui mati di bilik hotel manakala temannya, Mohamad Holin, 30, mati dalam perjalanan ke HKL. 

Zakaria berkata, Halimah dan Mohamad Holin ditetak di keseluruhan badan mereka.

"Mangsa wanita mati akibat kecederaan tetakan di dada rusuk kanan dan belakang badan manakala teman lelakinya mati akibat kecederaan kerana perutnya terburai," katanya ketika dihubungi.

Rakan mereka yang juga berada dalam bilik itu yang bernama Mat Alwan, 34, berada di unit rawatan rapi dengan kecederaan di perut dan tangan. Polis menemui sebilah pisau celoret di tempat kejadian.

Zakaria juga berkata, polis sedang mengesan suami Halimah yang telah menghilangkan diri selepas kejadian.

Pasangan itu dipercayai dari Madura, Indonesia.

Beliau tidak menolak kemungkinan motif kejadian adalah kerana cemburu.


No comments:

Post a Comment