Search This Blog

Monday, June 21, 2010

Militan serbu pejabat risikan



KEPULAN asap hitam dilihat berkepul naik dari bangunan pejabat perisikan di bandar Aden, 320 kilometer dari selatan San'a, kelmarin. – AP



SANAA, Yemen 20 Jun – Empat suspek yang dipercayai ahli kumpulan al-Qaeda menyerbu ibu pejabat agensi perisikan Yemen di Aden dan membebaskan beberapa tahanan dalam operasi terancang paling nekad pernah dilakukan ketika kerajaan giat melancarkan operasi antipengganas dengan bantuan Amerika Syarikat (AS) sejak tahun lalu.
Serangan ke atas kompleks keselamatan yang dikawal ketat itu mengorbankan 11 orang sekali gus menambahkan kebimbangan AS terhadap kemampuan kerajaan Yemen dalam memerangi keganasan.
Tujuh anggota keselamatan, tiga wanita dan seorang kanak-kanak terbunuh dalam serangan di bandar pelabuhan Aden yang terletak kira-kira 320 kilometer dari ibu negara Yemen itu.
“Kami diserang walaupun tidak menyangka ia bakal berlaku.
“Ini adalah serangan serius dari elemen pengganas,” kata Menteri Penerangan, Hassan al-Lozy kepada televisyen Al-Arabiya.
Sementara itu, seorang pegawai AS memberitahu, pihaknya mendapati beberapa pemberontak termasuk warga AS mengadakan latihan di kem tentera serta turut bekerjasama dengan kumpulan antikerajaan yang menentang kerajaan pimpinan Presiden, Ali Abdullah Saleh.
Kebimbangan AS semakin meningkat selepas al-Qaeda di Semenanjung Arab mengaku bertanggungjawab dalam cubaan meletupkan sebuah pesawat ke Detroit pada Disember lalu tetapi gagal.
Sejak itu, dengan latihan yang disediakan oleh AS, tentera Yemen menyerbu serta memusnahkan beberapa kawasan yang menjadi tempat persembunyian kumpulan pengganas itu.
Seorang penganalisis, Mansour Hael berkata, serangan pengganas terhadap institusi keselamatan kedua terbesar di negara ini membuktikan kelemahan kerajaan dalam memerangi aktiviti pengganas.
“Persoalannya, bagaimana pengganas ini mampu melancarkan serangan ke atas kawasan yang diberi kawalan ketat,” katanya lagi. – AP

No comments:

Post a Comment