Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Mayat suri rumah ditemui


15/7
LANGKAWI: Mayat suri rumah, Norita Dahari, 29, yang hilang dihanyutkan arus dan ombak besar di Pantai Tengah ketika mandi bersama arwah suami dan ahli keluarganya, petang Rabu lalu, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), semalam.
Ketua Penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui jam 8.45 pagi oleh pasukan SAR yang menjalankan gerakan meronda di sepanjang pantai berkenaan.
Ketika ditemui, mayat mangsa dilihat terapung kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dan arwah suami mandi dalam keadaan lengkap berpakaian baju biru berseluar hitam.
Selepas penemuan mayat itu disahkan ahli keluarganya, pusat SAR yang dibuka di Pantai Tengah kini ditutup dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya di sini.
Harian Metro semalam, melaporkan mayat suami mangsa, Yuhin Azlan Yusof, 31, ditemui pasukan SAR kira-kira jam 8.20 pagi kelmarin, kira-kira 500 meter dari tempat mereka turun mandi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Rabu lalu, Yuhin Azlan dikatakan cuba menyelamatkan Norita yang tenggelam timbul selepas dihanyutkan ombak besar sebelum kedua-dua mereka dilihat tenggelam dan hilang.
Dalam kejadian sama, seorang lagi mangsa, Azat Mohd Ghazali, 29, yang juga adik ipar Yuhin Azlan mengalami sesak nafas dan terpaksa dihantar ke Hospital Langkawi (HL) untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, abang Yuhin Azlan, Yusyino Asmara Yusoff, 35, menyifatkan kematian pasangan suami isteri itu sebagai satu kehilangan besar dalam keluarga.
Sejam sebelum kejadian, saya dan Yuhin (Azlan) keluar berdua ke pekan Kuah dan kami sempat membeli makanan segera untuk makan petang keluarga yang menginap di sebuah hotel di Pantai Tengah.
Dalam perjalanan itu, kami berbincang banyak hal termasuk soal kerja dan keluarga. Kami berdua memang rapat sejak kecil dan arwah satu-satunya rakan rapat saya hingga kini, katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, selepas selesai bedah siasat, mayat Norita dibawa ke Gombak, Selangor menerusi penerbangan sebelum dikebumikan berhampiran kubur arwah suaminya.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment