Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Lima pelajar MTD direman


KUALA LUMPUR 25 Jun – Lima pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi di sini, ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar tingkatan empat sekolah itu, Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, yang dipercayai menjadi mangsa buli, semalam.
Kelima-lima mereka yang merupakan pelajar tingkatan lima akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat berkata, lima pelajar terbabit yang ditahan malam tadi dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
“Polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti sama ada terdapat lagi rakan mereka yang turut terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Mohammad Naim dikatakan tidak sedarkan diri selepas dikenakan hukuman tekan tubi dan ditendang oleh rakannya di dalam sebuah bilik di MTD.
Pelajar malang itu sempat diberikan rawatan kecemasan di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Kem Sungai Besi namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada pukul 1.20 pagi.
Mengulas lanjut kes tersebut, Abdul Samah berkata, siasatan setakat ini mendapati kematian mangsa adalah berpunca akibat perbuatan dera atau buli.
Menurutnya, Mohammad Naim memasuki MTD pada Mei lalu selepas tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu hasil laporan bedah siasat dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mengenal pasti punca kematian mangsa.
“Setakat ini, siasatan mendapati tubuh mangsa tidak mempunyai kesan kecederaan serius dan ini bermakna dia mungkin mati akibat mengalami kecederaan dalaman.
“Namun, perkara itu tidak boleh disahkan sehinggalah laporan bedah siasat dikeluarkan,” katanya.
Abdul Samah turut menasihatkan pihak pengurusan MTD dan lain-lain sekolah berasrama agar memantau budaya buli di kalangan pelajar.
“Budaya ini jika tidak dipantau boleh mendatangkan kecederaan serius dan kematian kepada pelajar.
“Sekiranya mahu mengekalkan budaya ini, saya cadangkan ia dibuat dengan pengawasan dan mengikut garis panduan tertentu bagi mengelak pelajar senior bertindak melebihi batasan terhadap junior mereka,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment