Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Lagi 33 bookie ditahan terlibat pertaruhan RM2 juta sehari


PULAU PINANG 25 Jun - Seramai 33 individu dipercayai terlibat dalam sindiket 'bookie' haram ditahan di seluruh negeri ini membabitkan pertaruhan RM2 juta sehari sepanjang dua minggu pertama Piala Dunia 2010 berlangsung.
Mereka yang ditahan dalam Ops Soga itu termasuk seorang lelaki warga Myanmar dan seorang wanita.
Sindiket terbesar ditumpaskan adalah yang beroperasi di sebuah kafe siber di Jalan Angsana, Bandar Baru Air Itam di sini kelmarin, dengan mencatatkan nilai taruhan RM500,000 sehari.
Dalam serbuan itu, seramai tujuh lelaki termasuk penjaga premis ditahan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, semua tangkapan itu adalah hasil usaha yang dijalankan oleh polis untuk membanteras kegiatan perjudian dan pertaruhan Piala Dunia di negeri ini.
Menurut beliau, sepanjang tempoh 13 hari kejohanan itu berlangsung iaitu dari 11 Jun hingga kelmarin, sebanyak 77 serbuan dijalankan di seluruh negeri itu hasil maklumat orang awam.
"Daripada jumlah tersebut, hanya 22 serbuan berjaya dengan jumlah penahanan 33 orang yang merupakan pemain dan penganjur serta pemilik premis.
"Kesemua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 61 tahun.
"Mereka ditahan reman bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan untuk mengenal pasti dalang dan sindiket yang menjalankan pertaruhan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Polis Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nasir, turut dirampas dalam semua serbuan itu adalah sejumlah komputer riba, kalkulator, alat tulis, telefon bimbit, helaian kertas kecil yang tercatat angka-angka pertaruhan dan peralatan lain bernilai puluhan ribu ringgit serta wang tunai RM34,430.
Kata beliau, kesemua kertas dan data yang diperoleh daripada alat-alat elektronik itu akan dikeluarkan dan dihantar untuk dianalisis bagi mengenal pasti transaksi terlibat.
"Pekerja pertaruhan akan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 dan penganjur pula di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.
"Jika sabit kesalahan, pekerja boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali manakala penganjur pula boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.
Menurut Mohd. Nasir, modus operandi yang digunakan adalah menjalankan pertaruhan dan bayaran melalui Internet selain telefon bimbit.
Sementara itu, Mohd. Nasir berkata, pihaknya akan memperkuatkan lagi pasukannya bagi menghadapi kegiatan perjudian haram bola sepak Piala Dunia yang kini memasuki pusingan kedua.
Katanya, ia termasuk menambah anggota polis untuk menjalankan risikan dan pemantauan di semua lokasi popular kegiatan itu.
"Piala Dunia masih berjalan dan kegiatan bookie tersebut bertambah rancak. Justeru, kita akan mempersiapkan anggota kita untuk berhadapan dengan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment