Search This Blog

Saturday, June 12, 2010

Keganasan di Kyrgyzstan, 37 maut



Tentera kerajaan menggunakan kereta perisai meronda di bandar Osh di selatan Kyrgzstan selepas tercetus keganasan menyebabkan 37 orang maut, semalam. – Reuters


BISHKEK 11 Jun – Sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh, manakala kira-kira 500 yang lain cedera dalam keganasan etnik di selatan Kyrgyzstan, bekas kubu Presiden yang digulingkan, Kurmanbek Bakiyev.
Jurucakap kerajaan sementara, Azimbek Beknazarov mengemaskini jumlah korban itu hari ini, selepas kenyataan awal Kementerian Kesihatan melaporkan tiga maut dan 46 lagi dimasukkan ke hospital dalam kekacauan di bandar Osh dan kawasan lain.
Keganasan itu jelas berpunca daripada sengketa etnik dan dirancang rapi, kata Beknazarov selepas melawat bandar tersebut.
Kejadian berbalas-balas tembakan terus berlaku, sekalipun selepas perintah berkurung diisytiharkan.
Polis di Osh masih menemui mayat mangsa di jalan-jalan raya, kata Beknazarov.
Beberapa jam sebelum itu, kerajaan sementara Kyrgyzstan mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung di kawasan terlibat, berikutan pertempuran antara kumpulan pemuda etnik Kyrgyz dengan pemuda etnik Uzbek.
Gerombolan pemuda bertempur dan berbalas-balas tembakan di Osh dan daerah-daerah Karrasu, Aravan dan Uzgen yang berhampiran malam tadi, kata seorang lagi jurucakap kerajaan sementara, Farid Niyazov.
Pihak berkuasa mengerahkan kenderaan berperisai ke tempat kejadian dalam usaha untuk memulihkan ketenteraman.
“Keadaan darurat diisytiharkan di Osh dan daerah berkenaan mulai hari ini hingga 20 Jun,” kata Niyazov.
Sejak pemberontakan April lepas yang menggulingkan Bakiyev dan menyebabkan 87 orang terbunuh, para pemimpin serantau dan antarabangsa memberi amaran mengenai bahaya meletusnya perang saudara di negara yang mempunyai kedudukan strategik ini.
Namun, kerajaan sementara mengalami kesulitan untuk memelihara ketenteraan di negara miskin ini berikutan sengketa etnik di selatan dan skandal rasuah membabitkan beberapa pegawai tinggi dalam kerajaan. – AFP

No comments:

Post a Comment