Search This Blog

Friday, June 11, 2010

Karung besi



JITRA - Selepas polis berjaya mengesan muslihat di sebalik dua karung guni berisi besi lusuh yang dibawa seorang lelaki pada 6 Jun lalu, akhirnya terjawab kepada permasalahan yang berlaku sekitar taman perumahan bandar ini mengenai kehilangan besi penutup longkang yang dicuri untuk dijual kepada premis pemungut barang terpakai.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin berkata, lelaki berusia awal 30-an itu ditahan dalam keadaan mencurigakan dan dibawa ke balai untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati, dia gagal memberikan maklumat jelas berhubung tindakannya itu menyebabkannya ditahan buat sementara waktu.

“Lelaki berusia 36 tahun itu adalah orang sekatan (PCO) yang dibuang daerah, dia tidak patut melakukan kerja seperti itu.

“Soal jawab yang dilakukan turut mendapati dia gagal memberikan keterangan sahih dan ada yang mencurigakan,” katanya di sini, Selasa lalu.

Beliau berkata, selepas kejadian itu, polis menerima laporan daripada seorang penyelia premis barang lusuh dan besi buruk, yang mendakwa premisnya dicerobohi menyebabkan beberapa besi sisa binaan hilang.

Sawaludin berkata, polis menunjukkan barang yang dijumpai dalam guni daripada seorang lelaki kepada penyelia itu, yang merupakan warga India sekali gus turut mengakui bahawa barang itu milik premisnya.

Menurutnya, susulan daripada kes itu, sepasukan polis membuat serbuan pada 7 Jun di premis lelaki itu bekerja sekali gus menjumpai besi penutup longkang dan sebuah rangka motosikal.

“Polis merampas barang tersebut dan dalam masa sama mendapati rangka motosikal yang dijumpai itu adalah bersangkutan dengan kes kehilangan motosikal yang dilaporkan hilang pada 28 Ogos 2001,” katanya.

Menurutnya, kes itu pada mulanya di siasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 tetapi dipinda siasatan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, lelaki yang dikenakan PCO itu di reman pada 6 Jun hingga 10 Jun untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Sawaludin berkata, premis perniagaan barang lusuh dan besi buruk diingatkan agar tidak menerima besi buruk dan penutup longkang.

“Penduduk kawasan sekitar taman perumahan di Jitra merungut bahawa besi penutup longkang banyak hilang. Namun oleh kerana kehilangan dalam kuantiti kecil mereka tidak membuat laporan polis. Sekitar bandar ini dipercayai banyak besi longkang yang hilang,” katanya.

No comments:

Post a Comment