Search This Blog

Thursday, June 10, 2010

Kanak-kanak hilang selepas dibawa berjalan nenek saudara

TEMERLOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun hilang sejak lima hari lalu setelah dibawa berjalan oleh nenek saudaranya yang mempunyai masalah mental.
Ibunya, Wong Lai Lan, 21, berkata ketika kejadian, beliau dan suaminya, G Chandramohan, 24, keluar bekerja dan hanya menyedari kehilangan anak tunggalnya, Nisha Chandramohan setelah pulang dari kerja kira-kira jam 6 petang, Jumaat lalu.
Beliau berkata, Nisha kebiasaannya ditinggalkan bersama nenek saudara berusia 54 tahun itu dan moyangnya berusia 71 tahun di rumah mereka di Taman Bukit Bendera di sini.

"Ketika kejadian nenek saya sedang memasak di dapur, ibu saudara saya kemudian mengambil peluang pintu rumah yang tidak berkunci untuk membawa keluar anak saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. Beliau berkata, ibu saudaranya itu tidak pernah bertindak sedemikian sebelum ini. Tindakannya itu turut mengakibatkan dia sendiri tersesat sebelum ditemui orang ramai merayau-rayau dalam kawasan taman perumahan itu kira-kira jam 10 malam pada hari kejadian.

Bagaimanapun katanya, ketika ditemui, Nisha tidak ada bersama nenek saudaranya itu menyebabkan dia membuat laporan polis pada malam itu di Balai Polis Mentakab.

Wong adalah seorang kerani di sebuah kilang berkata, sejak kehilangan anaknya itu, dia dan suami tidak lagi mampu untuk bekerja kerana keluar mencari anak di sekitar bandar Mentakab dan Temerloh.

Mereka turut mengedarkan risalah malah mendapat bantuan bomoh untuk mengesan anaknya namun masih menemui jalan buntu.

Sehubungan itu, dia merayu bantuan orang ramai yang terlihat anaknya atau mempunyai maklumat mengenai anaknya itu agar menghubunginya di talian 016-9323803.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak itu dan berkata pihaknya sedang giat menjalankan usaha mengesan kanak-kanak itu.-Bernama

No comments:

Post a Comment