Search This Blog

Monday, June 21, 2010

Kakitangan kerajaan antara ditahan curi lori


SHAFIEN Mamat (kanan) melihat peralatan sindiket mencuri lori yang ditumpaskan di Nibong Tebal, Pulau Pinang, baru-baru ini.


NIBONG TEBAL 20 Jun - Seorang kakitangan kerajaan adalah antara tujuh lelaki yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri lori di sekitar kawasan utara Semenanjung dalam satu operasi bermula 14 Jun lalu.
Dengan tangkapan itu, polis percaya dapat menumpaskan kegiatan kumpulan yang disyaki beroperasi di daerah ini serta negara jiran, sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, daerah yang terlibat adalah di Sungai Petani dan Kulim di Kedah serta Parit Buntar, Perak.
Katanya, kesemua suspek berusia 37 hingga 45 tahun itu ditahan di beberapa kawasan sekitar SPS dan Parit Buntar.
Menurutnya, kejayaan diperoleh dengan penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun di Kulim pada pukul 9.30 pagi, 14 Jun lalu, bersama sebuah lori yang dilaporkan hilang kira-kira dua jam sebelum itu.
"Suspek yang dipercayai perancang utama sindiket itu ketika ditahan sedang memandu lori terbabit.
"Hasil siasatan lanjut polis menahan empat lelaki lain yang dipercayai dari sindiket sama di beberapa kawasan sebelum menemui sebuah lagi lori curi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah SPS di sini.
Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk memburu saki-baki anggota sindiket berkenaan.
Jelasnya, modus operandi sindiket itu adalah dengan menaiki sebuah Perodua Kembara sambil membawa peralatan seperti gerudi elektrik, tukul besi serta pemotong besi.
"Apabila menemui lori yang sudah dikenal pasti, mereka akan bergerak keesokan harinya untuk mencuri lori-lori terbabit.
"Mereka akan menyambungkan wayar untuk menghidupkan lori itu dan dibawa ke satu kawasan lain untuk meleraikan komponen kenderaan itu.
"Polis bagaimanapun masih berusaha untuk mengenal pasti lokasi tersebut," tambahnya.
Katanya, kesemua tujuh suspek itu ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 379 A dan 411 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment