Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Jangkitan malaria dibawa warga asing



2010/06/26

Kementerian Kesihatan dapati empat kes di Sabak Bernam bukan penularan tempatan 

SHAH ALAM: Sebanyak empat kes malaria termasuk satu kematian yang dikesan di Bagan Sekinchan, Sabak Bernam pada 16 Jun lalu berpunca daripada jangkitan dari luar negara dan bukan akibat penularan tempatan, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Dr Hasan berkata, satu kematian dilaporkan di kawasan itu pada 16 Jun lalu dan selepas disiasat mendapati mangsa, 35, adalah seorang pekerja asing dari Myanmar yang bekerja sebagai nelayan di Bagan Sekinchan bersama tiga rakan senegaranya.

Mereka tiba di negara ini pada 6 Jun lalu dan tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam, mengulas berita disiarkan akhbar Sin Chew Jit Poh bertarikh 23 Jun lalu. 

“Mangsa mula menunjukkan gejala demam sehari selepas tiba (7 Jun) dan hanya mendapatkan rawatan pada 12 Jun di sebuah klinik swasta selepas kembali dari laut dan diberi rawatan pesakit luar. 

“Mangsa mendapatkan rawatan kali kedua pada 15 Jun di klinik sama dan terus dirujuk ke Hospital Tanjong Karang dan kemudiannya ke Hospital Sungai Buloh pada hari sama. 

"Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi tetapi meninggal dunia keesokan harinya (16 Jun) akibat komplikasi malaria. Tiga rakan senegara mangsa juga didapati positif malaria, seorang sudah sembuh dan dibenarkan pulang sementara dua lagi masih dirawat di hospital," katanya. 
Dr Hasan berkata, hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam pada 16 Jun lalu, pemeriksaan ke atas 10 rakan sekerja mangsa di dalam bot menangkap ikan yang sama mendapati bahawa mereka negatif malaria dan contoh darah daripada 122 penduduk tempatan serta 219 pekerja asing untuk pemeriksaan malaria juga diambil di mana semuanya juga disahkan negatif. – BERNAMA 

No comments:

Post a Comment