Search This Blog

Wednesday, June 16, 2010

Isteri keempat Ayah Pin mengaku bersalah



BESUT – Isteri keempat Ayah Pin atau Arifin Mohamad, Nik Kamariah Ni Pa, 38, dan dua pengikut Ayah Pin yang didakwa atas tuduhan memiliki video cakera padat (VCD) mengandungi perbuatan bertentangan syarak, menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Nik Kamariah dan dua tertuduh lain sebelum ini pernah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika mereka masing-masing dihadapkan ke mahkamah pada 23 Ogos 2005 dan 14 Ogos 2007.

Berikutan pengakuan salah itu, Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof akhirnya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,800 atau penjara sebulan ke atas setiap tertuduh.

Selain Nik Kamariah, dua tertuduh lain yang dibicarakan adalah Sulaiman Takrib, 61, dan Wan Norriah Wan Ali, 55.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (1) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes pertuduhan yang dibacakan, bahawa Nik Kamariah bersama Arifin Mohamad, 67, (Ayah Pin) pada 2 Julai 2005, kira-kira jam 5.55 petang bertempat di rumah tertuduh yang tidak bernombor di Kampung 13, Tenang, Hulu Besut didapati menyimpan dua keping VCD rakaman video mengandungi perbuatan atau perlakuan bertentangan dengan hukum syarak.

Sementara itu, dua tertuduh lain juga ditahan di rumah masing-masing di perkampungan Ayah Pin pada masa dan hari sama.

Antara isi kandungan VCD itu, menayangkan perbuatan dan ucapan Ayah Pin termasuk video lawatan Ayah Pin ke beberapa tempat termasuk Bali, Indonesia yang bertentangan dengan syarak.

No comments:

Post a Comment