Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Indonesia gagal perangi keganasan


JAKARTA 25 Jun – Tidak lama dahulu, Abdullah Sonata merupakan lambang usaha Indonesia untuk memujuk pengganas yang ditahan di dalam penjara agar meninggalkan ideologi keganasan.
Dia diberi pelepasan daripada tahanan bagi menghadiri majlis-majlis dan polis membantu membayar bil-bil hospital semasa isterinya melahirkan anak, namun selepas dibebaskan kerana berkelakuan baik setahun yang lalu, Sonata kembali kepada kehidupan lama, sekali gus melonjakkan namanya dalam senarai militan paling dikehendaki Indonesia.
Dia ditahan Rabu lalu kerana disyaki merancang serangan ala-Mumbai di Jakarta dan beberapa pembunuhan berprofil tinggi, termasuk ke atas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Kelakuan Sonata itu menurut pakar, menggariskan kelemahan dalam program pembasmian radikal Indonesia.
Tidak seperti Arab Saudi, Malaysia dan Singapura, usaha di Indonesia kebanyakannya dipelopori polis yang memberi tumpuan untuk menjadikan banduan mengutuk keganasan dan menjadi pemberi maklumat.
Pegawai memberikan bantuan kewangan untuk membantu banduan dan keluarga mereka, malah kadangkala mengusahakan pembebasan awal, namun tidak banyak yang dilakukan untuk mengubah fahaman radikal agama seperti penubuhan pemerintahan Islam.
“Kebanyakan mereka yang sepatutnya sudah meninggalkan fahaman radikal masih lagi komited dengan matlamat asal mereka,” kata Pengarah Pusat Kajian Keganasan Antarabangsa di Pennsylvania State University, John Horgan.
Indonesia yang merupakan negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia, mengamalkan demokrasi sekular. Ia menjadi barisan hadapan perang ke atas keganasan pada 2002 apabila berlakunya pengeboman yang Bali yang dikaitkan dengan rangkaian al-Qaeda, yang meragut 202 nyawa, kebanyakannya pelancong asing.
Terdapat beberapa cerita kejayaan seperti Nasir Abbas, militan yang ada kaitan dengan al-Qaeda yang membantu melatih pengebom Bali.
Selepas dibebaskan pada 2004, dia memainkan peranan penting dalam pemburuan dan penangkapan beberapa bekas rakan seperjuangannya, selain ke penjara untuk berdebat dengan banduan bagi mencegah salah faham tentang jihad.
Namun, ada juga yang mengecewakan seperti pembuat bom, Bagus Budi Pranoto yang menyertai program pembasmian radikal yang dihukum empat tahun penjara kerana terlibat dalam pengeboman Kedutaan Australia pada 2004 tetapi membantu melancarkan serangan ke atas hotel J.W. Marriott dan Ritz-Carlton tahun lalu, tidak lama selepas dibebaskan.
Menjadi rakan kepada musuh mempunyai risiko tersendiri dan beberapa negara lain turut mengalami kegagalan besar seperti program pemulihan Arab Saudi yang memulakan pembasmian keganasan dengan menggalakkan tahanan meninggalkan fahaman pelampau dan integrasi dengan kehidupan awam melalui program kaunseling psikologi, latihan vokasional dan pendidikan agama yang betul.
Seorang tahanan Guantanamo yang dibebaskan pada 2007 dan dihantar ke Arab Saudi untuk menyertai program itu, kemudian melarikan diri ke Yemen dan menjadi timbalan komander al-Qaeda di Semenanjung Arab. – AP

No comments:

Post a Comment