Search This Blog

Friday, June 11, 2010

Guna taktik 'ugutan manis'

KUALA LUMPUR: Sindiket ceti haram atau along menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ‘ugutan manis’ antaranya ‘jika tidak mahu bayar hutang, saya akan buat keluarga anda gembira hingga menangis’ bagi menakut-nakutkan mangsa agar membayar hutang segera.
Kaedah ugutan bertulis dihantar itu menyebabkan seorang wanita diburu keresahan selepas kumpulan along mencurahkan cat, selain minyak petrol ke rumahnya dengan amaran membakar mangsa hidup-hidup.
Akibatnya mangsa yang bimbang dibunuh menjadi pelarian dan menumpang di rumah rakan selepas diburu along yang memintanya bertanggungjawab terhadap hutang dibuat abangnya sebelum ini.

Mangsa, Chia Pei Chee, 34, berkata, dia menjadi pelarian dari buruan Along sejak beberapa bulan lalu gara-gara dipaksa membayar hutang abang kandungnya berjumlah RM400,000.

Kumpulan Along terbabit memperoleh nombor telefon bimbit mangsa sebelum menghantar SMS ugutan Khamis lalu.

“Ketika itu, saya sedang bersembunyi di rumah rakan di Taman Anggerik, Cheras sebelum menerima SMS daripada Along terbabit dengan tulisan `saya tahu nombor plet kereta kamu. Kalau tidak pulangkan wang dipinjam... saya akan buat keluarga awak gembira sehingga menangis’.

“Saya yakin pengirim SMS terbabit adalah Along berikutan abang saya pernah meminjam wang daripada berpuluh Along sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Menurutnya, dia yang bimbang dicederakan kemudian cuba menghubungi Along terbabit bagi menjelaskan situasi sebenar selain enggan dikaitkan dengan masalah abangnya itu.

“Malangnya rayuan saya itu ditolak mentah-mentah sebaliknya diugut akan dibakar hidup-hidup.

“Saya tidak tahu di mana abang saya berada,” katanya ketika ditemui di Biro Aduan MCA, semalam.

Mangsa berkata, berdasarkan maklumat dikumpul, abangnya berusia 43 tahun meminjam sekurang-kurangnya 14 along.

No comments:

Post a Comment