Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Dua lagi mayat nahas bot ditemui


TELUK KEMANG 25 Jun - Dua lagi mayat mangsa tragedi bot karam termasuk seorang kanak-kanak perempuan ditemui di kawasan 12 batu nautika (22 kilometer) dekat pantai Port Dickson, hari ini.
Mayat pertama, seorang wanita yang berusia 30-an ditemui pada pukul 11.58 pagi manakala kanak-kanak itu pula, berusia antara 10 dan 12 tahun, pada pukul 12.38 tengah hari.
Penemuan kedua-dua mayat itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang disahkan terkorban dalam tragedi tersebut meningkat kepada sembilan orang.
Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah 5 (Kuala Linggi), Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata, pihaknya kini sedang mengesan lima lagi mangsa yang dikhuatiri lemas dalam tragedi itu.
"Operasi mengesan hari ini terpaksa ditangguhkan kerana hujan dan kami akan meneruskan semula pada pagi esok," katanya kepada pemberita di pusat operasi Jeti Penumpang Port Dickson, di sini hari ini.
Menurut Ibrahim, mayat kanak-kanak malang itu ditemui oleh bomba dan penyelamat manakala wanita tersebut pula oleh pasukan APMM.
"Kedua-duanya ditemui tidak jauh antara satu sama lain. Ketika ditemui mayat kanak-kanak itu dalam keadaan menyayat hati dengan hampir semua kulit badannya sudah mengelupas dan berbau," katanya.
Katanya, kedua-dua mayat itu telah diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Port Dickson, untuk dibedah siasat.
Tambahnya, berdasarkan siasatan, seramai 22 mangsa terbabit dalam tragedi itu dan bukan seperti yang dianggarkan iaitu seramai 25 orang.

No comments:

Post a Comment