Search This Blog

Monday, June 21, 2010

Ditahan lagi curi motosikal




Wan Aziz Wan Hussin (kanan) bersama pegawainya memeriksa salah seorang penunggang yang disyaki menggunakan motosikal curi dalam satu operasi jalan raya di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.


BUTTERWORTH 20 Jun – Tidak tahu serik. Mungkin itulah ungkapan tepat bagi menggambarkan perbuatan seorang lelaki yang baru empat bulan dibebaskan dari penjara kerana kesalahan mencuri motosikal ditahan sekali lagi awal pagi ini, atas kesalahan yang sama.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan ketika menunggang sebuah motosikal curi jenis Yamaha Nuovo dalam satu operasi bersepadu di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth, di sini kira-kira pukul 2 pagi.
Dia sebelum ini meringkuk selama lima bulan dipenjara akibat kesalahan yang sama.
Ketika ditahan, lelaki yang tidak bekerja itu memberi pelbagai alasan kepada pihak polis termasuk mendakwa kenderaan tersebut dipinjam daripada rakannya.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Wan Aziz Wan Husin berkata, pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Sik, Kedah, baru-baru ini.
“Suspek ditahan di Balai Polis Butterworth untuk pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi tersebut di sini hari ini.
Selain pasukan trafik, JPJ dan JAS, operasi selama tiga jam bermula pukul 12.30 tengah malam itu turut melibatkan bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 106 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut.
Menurutnya, polis juga menyita 14 buah motosikal kerana penunggangnya tiada lesen memandu atau cukai jalan tamat tempoh.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mengeluarkan tiga saman di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Bunyi Bising Motosikal) 1987 yang boleh dikenakan denda RM100,” tambahnya.
Tambah Wan Aziz, polis juga berjaya menahan seorang lelaki yang positif dadah ketamin melalui ujian air kencing yang dilakukan terhadap 58 individu.
“Kita akan meneruskan operasi seperti ini bagi membanteras kejadian jenayah melibatkan motosikal serta memastikan orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment