Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Cuai jaga budak


15/7
PETALING JAYA: Pengusaha taska di sekitar Lembah Klang bakal dihadapkan ke mahkamah kerana cuai menjaga kanak-kanak, malah mengakibatkan kecederaan dan kematian.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perundingan dan Advokasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Muhammad Yusry Che Dah, berkata pihaknya akan mendakwa pengusaha taska terbabit dalam masa terdekat.
Menurutnya, semua taska terbabit juga didapati tidak berdaftar dengan JKM dan tidak menepati garis panduan ditetapkan pihak berkuasa, terutama membabitkan aspek keselamatan dan kebersihan.
Semua 10 taska ini dalam proses untuk dibawa ke mahkamah. Mereka terbabit dalam kecederaan dan kematian kanak-kanak di taska mereka, katanya, selepas merasmikan penutupan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak di Hospital Mata Tun Hussein Onn, di sini, semalam.
Beliau yang mewakili Ketua Pengarah JKM, Datuk Meme Zainal Rashid pada majlis itu turut menyampaikan sijil kursus kepada peserta.
Hadir sama Pengerusi Yayasan Pendidikan Islam (YPI), Datuk Mohamed Iqbal; Pengetua Institut Antarabangsa Iqra, Shahida Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Three OPP (M) Sdn Bhd, Mohamed Shajahan Iqbal.
Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak itu dianjurkan YPI dan Institut Antarabangsa Iqra dengan penajaan Three OPP, membabitkan 31 peserta, yang mengikutinya dari 1 hingga 24 Jun lalu, termasuk peperiksaan JKM.
Muhammad Yusry berkata, rekod pihaknya menunjukkan kebanyakan kes kecederaan kanak-kanak berlaku di premis diusahakan oleh mereka yang tidak mengikuti kursus asas asuhan kanak-kanak dan tidak berdaftar dengan JKM.
Justeru, pihaknya berharap semua pengasuh di taska dapat memastikan aspek keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka manakala pengusaha yang belum berdaftar segera melakukan pendaftaran.
Namun, katanya, sebelum mendapat kelulusan perakuan pendaftaran lesen dari JKM, taska terbabit perlu diperiksa tiga jabatan bagi menentukan tahap keselamatan premisnya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan sesebuah taska itu memenuhi keperluan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 sebelum sijil pendaftaran diberikan, katanya.
Beliau berkata, pengusaha sesebuah taska juga perlu mematuhi peraturan dengan tidak mengambil kanak-kanak seberapa ramai yang boleh tanpa mengikuti nisbah ditentukan.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment