Search This Blog

Saturday, June 12, 2010

Bekas Presiden dikurang hukuman Chen Shui-bian (tengah) melambai tangan kepada penyokongnya semasa tiba di bangunan mahkamah bagi mendengar keputusan rayuannya di Mahkamah Tinggi Taiwan di Taipei, semalam. – AFP



TAIPEI 11 Jun – Mahkamah Tinggi Taiwan hari ini meringankan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas Presiden Chen Shui-bian kepada penjara 20 tahun, namun bekas pemimpin itu berkata, beliau akan mengemukakan rayuan.
Mahkamah tersebut yang turut mengurangkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas wanitapertama Wu Shu-chen kepada penjara 20 tahun berkata, pihaknya mengambil keputusan itu selepas mendapati jumlah wang yang digelapkan Shui-bian kurang daripada yang dikatakan sebelum ini.
“Saya berterima kasih kepada para hakim kerana meringankan hukuman saya, tetapi saya tetap akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu,” katanya yang kelihatan kurus dengan rambut yang lebih panjang berbanding semasa pemerintahannya sebagai Presiden dari 2000 hingga 2008.
Shui-bian berkata demikian selepas pengumuman mengenai pengurangan hukumannya dibuat, semasa menghadiri satu kes sebutan tahanan.
Mahkamah menjelaskan bahawa pihaknya akan memberikan Shui-bian satu surat jawapan sama ada pemimpin itu akan terus ditahan atau dibebaskan sementara beliau menyediakan rayuan.
“Saya tidak akan lari,” katanya yang berusia 59 tahun yang sebelum ini mengecam perbicaraan ke atasnya sebagai satu balas dendam politik musuh-musuhnya berikutan desakannya untuk membebaskan Taiwan dari China.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi hari ini memberikannya harapan.
Pakar undang-undang memberitahu AFP, sekiranya hukuman ke atas Shui-bian disahkan Mahkamah Agung, bekas Presiden itu boleh dibebaskan dalam masa 10 tahun.
Shui-bian disabit kesalahan pada tahun lalu dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Daerah Taipei kerana menggelapkan dana negara, penggubahan wang haram, menerima rasuah dan memalsukan dokumen.
Selain meringankan hukuman penjara, mahkamah turut mengurangkan denda ke atas bekas pemimpin Taiwan itu daripada 200 juta dolar Taiwan (RM20.3 juta) kepada 170 juta dolar Taiwan (RM17.3 juta), sementara denda ke atas Shu-chen diturunkan kepada 200 juta dolar Taiwan (RM20.3 juta). – AFP

No comments:

Post a Comment