Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Bebas tuduhan bunuh tukang urut


Mohd. Hairi Sabdin mengangkat tangan tanda bersyukur selepas mahkamah membebaskannya daripada kesalahan membunuh tukang urut di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 25 Jun – Seorang pengangkut gas hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan membunuh seorang tukang urut tradisional berumur 69 tahun yang cuba meliwatnya, tujuh tahun lalu.
Hakim Abdul Halim Aman membebaskan Mohd. Hairi Sabdin, 29, daripada tuduhan membunuh Abdul Rahman Hussain setelah mendapati perbuatan tertuduh adalah untuk mempertahankan diri.
Hakim Abdul Halim dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati tiada keraguan terhadap kenyataan yang dibuat oleh pihak pembelaan dan menerima keterangan tertuduh sebagai jelas, jujur dan boleh dipercayai.
“Apa yang dilakukannya adalah untuk mempertahankan diri dan mengelakkan maruahnya tercemar akibat perbuatan si mati yang berkelakuan tidak senonoh ketika sedang mengurutnya.
“Menerusi Seksyen 100 (d) Kanun Keseksaan, undang-undang negara memberi perlindungan dan hak seseorang untuk menyebabkan kematian akibat perbuatan di luar tabii,” katanya.
Hakim Abdul Halim berpendapat segala rentetan peristiwa yang diceritakan oleh tertuduh sejak awal sehingga kematian mangsa merupakan tindakan yang wajar dilakukan oleh sesiapa juga yang berada dalam situasi tersebut.
‘‘Perbuatan tidak senonoh si mati yang cuba meliwat tertuduh tidak pernah dialami sepanjang hidupnya dan telah membangkitkan kemarahan terhadap si mati.
‘‘Saya memahami perasaan tertuduh ketika itu dan sesiapa sahaja yang berfikiran waras akan melakukan perkara sama untuk mempertahan maruah dan harga dirinya. Perbuatan yang dilakukannya munasabah,’’ ujar Hakim Abdul Halim ketika menjatuhkan hukuman pada pukul 6 petang.
Sungguhpun begitu beliau turut menasihati dan berharap tertuduh menziarahi pusara si mati dan mensedekahkan bacaan surah Yasin.
Mohd. Hairi yang memakai baju kemeja ungu berjalur dan berseluar hitam dilihat mengangguk faham sambil memandang ke arah adik-beradik, ibu serta beberapa saudaranya yang duduk di galeri awam.
Tertuduh didakwa membunuh Abdul Rahman pada pukul 4.30 pagi, 25 September 2003, di rumah mangsa, di No.299-0, Kampung Makam, Jalan Datuk Keramat di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Azahar Mokhtar dan L. Umma Devi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
Peguam Mohd. Hairi, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah ketika berhujah pada akhir kes pembelaan menjelaskan peruntukan undang-undang sebenarnya memberikan hak kepada mana-mana individu (lelaki mahupun wanita) mempertahankan diri apabila diserang dengan niat untuk memuaskan nafsu luar tabii tetapi kebanyakannya tidak menyedari wujudnya peruntukan tersebut.
‘‘Anak guam saya cuba mempertahankan dirinya daripada cubaan liwat oleh si mati yang merupakan perbuatan keji dan hina serta salah di sisi undang-undang negara dan agama.
‘‘Justeru, tertuduh tidak wajar dipenjarakan lagi dan tidak patut menghabiskan usia mudanya semata-mata disebabkan mempertahankan diri daripada perbuatan keji si mati,’’ katanya.
Sementara itu, Mohd. Hairi ketika ditemui pemberita di luar mahkamah amat bersyukur dan gembira kerana dibebaskan.
Menurutnya, dia ingin berehat bersama keluarga terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perancangan hidup seterusnya.
‘‘Saya tidak tahu apa yang ingin saya lakukan selepas ini. Paling utama ketika ini hanyalah untuk mengikuti nasihat hakim supaya melawat kubur si mati dan sedekahkan bacaan Yasin kepada arwah.
‘‘Selain itu, saya ingin menghabiskan masa bersama ibu dan adik beradik yang telah saya tinggalkan selama tujuh tahun ketika merengkok dalam penjara,’’ katanya.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa mengemukakan 19 saksi sementara Mohd. Hairi membela dirinya tanpa mengemukakan keterangan sokongan.
Dalam keterangan semalam, Mohd. Hairi memberitahu bahawa dia tidak berniat langsung untuk membunuh Abdul Rahman ketika menikam leher mangsa menggunakan gunting.
Sebaliknya tindakan itu, katanya, terpaksa dilakukan hanya bertujuan melemahkan Abdul Rahman, bekas pekerja kapal yang ketika itu sedang bergelut dengannya di rumah milik mangsa di Kampung Makam di sini.
Tambahan pula jelasnya, dalam pergelutan itu Abdul Rahman terlalu agresif, bengis termasuk mencekiknya dengan bersungguh-sungguh sehingga menyukarkannya untuk bernafas.
‘‘Saya tumbuk Abdul Rahman bertubi-tubi di mukanya dan masa itulah saya dapat merampas gunting lalu tikam lehernya hanya untuk melukakannya. Saya tidak berniat langsung untuk membunuh,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment