Search This Blog

Friday, June 11, 2010

Bapa hutang ah long, cagar cek anak yang cuba bantu




KUALA LUMPUR – Seorang bapa bukan sahaja berhutang dengan 30 ah long, malah sanggup membohongi anak sendiri, termasuk menyalahgunakan cek kosong milik syarikat anaknya, membabitkan kerugian mencecah lebih RM1 juta. 

Mangsa, Goh Chun Kiat, 31, berkata, bapanya, Goh Seow Tee, 56, sudah lama menghilangkan diri dan dia hanya mengetahui tembelang bapanya selepas diserang dua lelaki kelmarin, yang memberi amaran kepadanya serta meminta menjelaskan hutang bapanya sebanyak RM8,800 secepat mungkin. 

Menurutnya, dua lelaki itu turut mengugut akan merampas semua peralatan serta mesin di syarikat miliknya jika dia gagal membayar hutang itu. 

Chun Kiat berkata, dia terkejut dengan kejadian kerana sebelum ini, dia mengetahui bapanya sering berhutang dengan ah long dan dia membantu melangsaikan hutang berkenaan. 

“Bagaimanapun, saya langsung tidak menyangka bapa saya sanggup menggunakan 100 cek kosong bertandatangan atas nama syarikat untuk dicagarkan kepada ah long tanpa pengetahuan saya. 

“Saya langsung tidak menyedari hal ini, sedangkan bapa sudah melakukan perkara itu sejak tiga tahun lalu dan segalanya hanya terbongkar apabila saya diserang tempoh hari,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam, selepas bertemu Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong. 

Menurutnya, bapanya juga memberi jaminan kepada ah long bahawa mereka boleh menarik kenderaan miliknya jika gagal mendapatkan semula wang. 

Katanya, terdapat beberapa lagi ah long datang dan mendakwa bapanya masih berhutang dengan mereka sehingga mencecah RM450,000. 

“Saya tidak menyangka dia sanggup memperlakukan anak sendiri seperti itu. Walaupun bapa sudah bercerai dengan emak hampir 10 tahun lalu, saya tetap membantunya dengan mengambilnya bekerja di syarikat serta memberi wang perbelanjaan untuk menyara hidup dan membayar hutang-hutang ah long,” katanya. 

Chun Kiat berkata, dia sangat tertekan kerana bapanya sudah menghilangkan diri dan kini, dia terbeban bukan sahaja dengan hutang bapanya kepada ah long, malah hutang syarikat kepada pembekal berjumlah RM400,000.

No comments:

Post a Comment