Search This Blog

Friday, June 11, 2010

Akibat judi, dapur tidak berasap




MERBAU MENYUSUT – Segelintir penoreh getah di sini, sanggup memperjudikan rumah tangga dan nasib anak gara-gara terpengaruh dengan aktiviti judi nombor ekor dijalankan seorang penduduk yang bertindak sebagai orang tengah di kampung berkenaan. 

Ini berlaku ke atas seorang penoreh getah miskin, mempunyai enam anak, Othman Mohamad, 42, yang kecewa apabila bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diterima bermula sejak Oktober tahun lalu dihentikan gara-gara kemaruk judi nombor ekor. 

Othman berkata, dia tidak menyangka Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kampungnya sanggup menggunakan alasan itu untuk membuat aduan kepada JKM sekali gus menyebabkan bantuan ditarik balik. 

Sebelum ini, Othman yang mendakwa menerima Skim Bantuan Persekutuan (bantuan kanak-kanak) sebanyak RM450 sebulan selama setahun selepas permohonannya diluluskan melalui sokongan JKKK Merbau Menyusut. 

Bagaimanapun, kini nasib Othman bak kata pepatah ‘nasi sudah menjadi bubur’ selepas permohonan Othman untuk mendapatkan semula bantuan itu gagal. 

Lebih menyedihkan apabila JKKK juga tidak menyokong permohonan kedua yang dikemukakan kepada JKM. 

Difahamkan, bantuan itu ditarik balik pada bulan lalu selepas dipercayai seorang ahli JKKK membuat pengaduan kepada JKM dengan menyatakan Othman telah menyalahgunakan wang bantuan yang diberikan sekali gus bantuan itu terpaksa dihentikan. 

Othman yang juga mengidap strok itu berkata, kini dapurnya kini tidak lagi berasap manakala empat dari enam anaknya terpaksa ke sekolah tanpa membawa wang belanja sekolah gara-gara perbuatannya sendiri yang kemaruk dengan judi nombor ekor. 

Sementara itu, Pengerusi JKKK Merbau Menyusut, Abdullah Mat Amin, 62, berkata, pihaknya sukar untuk menghalang aktiviti judi nombor ekor terus berlaku di kam�pung berkenaan kerana tiada aktiviti penjualan nombor ekor dijalankan. 

“Sebaliknya seorang penduduk di kampung ini hanya bertindak sebagai orang tengah dengan mengumpul wang penoreh getah dan kaki nombor ekor di kampung ini sebelum mengambil ekor haram di Kuala Terengganu setiap Rabu, Sabtu dan Ahad,” katanya.

No comments:

Post a Comment