Search This Blog

Friday, June 11, 2010

Ajal kembar

KANGAR: Sepasang kembar perempuan menemui ajal bersama selepas terbabit satu kemalangan jalan raya di Kilometer 2.7, Jalan Raja Syed Alwi, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

SEBAK...Mahani (kiri) dan Nirat masih bersedih ketika ditemui di rumah mereka.

SEBAK...Mahani (kiri) dan Nirat masih bersedih ketika ditemui di rumah mereka.

Pasangan kembar berusia 22 tahun itu, Fatimah Kamis dan adik kembarnya, Aishah Kamis maut selepas motosikal jenis Kriss yang dinaiki dilanggar sebuah kereta.

Lebih memilukan ketika kejadian, Fatimah mengandung tiga bulan dan bakal menimang cahaya mata sulung, manakala Aishah pula akan melangsungkan pertunangan dengan pemuda pilihannya dari Taiping, Perak dalam tempoh terdekat.

Ibu kembar mangsa, Nirat Shafie, 67, berkata hubungan kembar anak kelima dan keenam daripada tujuh beradik itu begitu rapat dan selalu bersama walaupun Fatimah sudah bersuami serta menetap bersama di rumah mereka di Kampung Tok Kaya, Kayang, dekat sini.

Katanya, Aishah pernah berhenti mengikuti pengajian di Terengganu semata-mata enggan berpisah dengan kakak kembarnya, Fatimah.

“Sebelum kejadian, Aishah yang menunggang motosikal dan bekerja di Unit Aset, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mengambil Fatimah di Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) untuk pulang bersama dan itu menjadi rutin harian mereka.
“Fatimah sempat menelefon saya sejam sebelum kemalangan memaklumkan mereka singgah di sebuah pasar raya untuk membeli coklat bagi membuat gubahan hantaran perkahwinan ibu saudara mereka yang dijadualkan pada esok,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HTF di sini, malam kelmarin.

Turut kelihatan di bilik mayat, bapa pasangan kembar, Kamis Bakar, 70-an, kakak mereka, Mahani, 43, dan suami Fatimah, Tarmizi Ahmad, 35, yang bekerja di kilang padi.

Aishah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, disusuli kakaknya, Fatimah, kira-kira tiga jam kemudian di HTF selepas kedua-duanya cedera parah di kepala dan badan.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Superintendan, Rosli Yahaya berkata, pasangan kembar berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Kangar ke Utan Aji sebelum dirempuh kereta dinaiki sepasang suami isteri yang tidak berhenti di persimpangan terbabit.

Katanya, kedua-dua mangsa diseret sejauh 15 meter sebelum tersangkut di tebing jalan raya, manakala kenderaan jenis Proton Aeroback dan motosikal yang dinaiki mangsa terpelanting ke dalam sawah.

“Pemandu kereta iaitu seorang pesara kerajaan bersama isteri hanya cedera ringan. Bagaimanapun, kami percaya pemandu kereta memandu laju dan melulu.

“Akibat rempuhan itu, Aishah dikatakan terpelanting ke cermin kereta dan meninggal dunia di tempat kemalangan, manakala Fatimah pula kritikal sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.45 malam di HTF,” katanya.

Rosli berkata, pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) berusia 68 tahun itu ditahan untuk siasatan dan didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Mahkamah Majistret Kangar, pagi semalam.

Katanya, mahkamah mengenakan jaminan RM6,000 terhadap pemandu berkenaan dan menetapkan sebutan kes pada 7 Julai ini.

Sementara itu, Tarmizi pula berkata, dia dan Fatimah membuat persiapan untuk menimang cahaya mata sulung dijangka penghujung tahun atau awal tahun depan.

“Hasrat saya untuk memperoleh cahaya mata hancur malah saya turut kehilangan Fatimah. Mereka berdua (Fatimah dan Aishah) memang rapat dan saya faham situasi kembar dan tidak cemburu,” katanya yang masih sugul.

Jenazah pasangan kembar itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Behor Masjid, Kayang, dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Bakal tunang Aishah, Ridzuan Abdul Ghani, berusia 20-an serta Exco Perlis, Ahmad Bakri Ali, hadir ketika urusan pengebumian jenazah kembar berkenaan.

No comments:

Post a Comment