Search This Blog

Wednesday, June 16, 2010

2 laras senapang angin dirampas


KOTA BHARU 15 Jun - Polis menahan tiga lelaki dan merampas dua laras senapang angin buatan sendiri dalam serbuan di dua buah rumah berasingan, 9 Jun lalu dan kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, rampasan pertama dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pasir Era Depan Pauh, Kuala Krai.
Katanya, sepasukan polis pada mulanya menyerbu rumah tersebut untuk siasatan kes dadah tetapi menemui senapang beserta 45 butir bebola besi yang digunakan sebagai peluru.
''Polis menahan dua sahabat berusia 19 tahun dan 24 tahun yang bekerja di sebuah kilang dan tempat memproses ayam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mazlan berkata, hasil siasatan mendapati senjata tersebut digunakan untuk memburu binatang.
Beliau berkata, pihaknya masih memburu seorang lelaki berusia 30 tahun iaitu abang kepada salah seorang suspek bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis merampas selaras lagi senapang dan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit Gading, Tanah Merah, kelmarin.
''Polis juga merampas 17 butir bebola besi yang digunakan sebagai peluru dan tong gas peti sejuk yang digunakan untuk mengisi angin senapang itu," katanya.
Mazlan berkata, lelaki itu pernah ditahan atas kesalahan yang sama pada Disember tahun lalu.
Jelasnya, siasatan yang dilakukan mendapati senjata api itu dibeli dari seorang lelaki rakyat Thailand dengan harga RM250 selaras.
''Senapang angin tersebut diperbuat dari pelbagai jenis barangan terpakai dan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan senapang biasa," ujarnya.
Menurut beliau, ketiga-tiga lelaki itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 dan sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali

No comments:

Post a Comment