Search This Blog

Wednesday, June 2, 2010

2 anak dibiar mengemis

KUALA LUMPUR: Dua beradik lelaki berusia tujuh dan lapan tahun dibiarkan ibu bapanya berkeliaran di sekitar Chow Kit di sini dalam keadaan tidak terurus sambil meminta sedekah sedangkan kanak-kanak seusia mereka sepatutnya berada di sekolah menimba ilmu.
Lebih menyedihkan, dua beradik itu dipercayai anak tidak sah taraf hasil perhubungan ibu bapa mereka hanya mengharapkan ihsan orang ramai mendapatkan sesuap nasi gara-gara kesibukan bapa mereka mencari pekerjaan selepas berhijrah ke bandar raya ini beberapa minggu lalu.
Namun, nasib malang kanak-kanak itu berubah selepas diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menemui mereka tidur dalam keadaan kesejukan dan kelaparan di atas jejantas berhampiran Stesen LRT Titiwangsa pertengahan bulan lalu.

Mendedahkan kejadian itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah (gambar) berkata, pihaknya kesal dengan sikap tidak peduli ibu bapa kanak-kanak berkenaan sedangkan mereka bertanggungjawab memberikan perlindungan dan kasih sayang. “Ibu bapa berusia 44 dan 45 tahun tiba di ibu negara sebulan lalu dari Terengganu dan mendakwa mereka tinggal di surau Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mereka melaporkan mengenai kehilangan anak mereka pada 15 Mei lalu selepas kanak-kanak berkenaan tidak pulang dua hari.

“Bertindak atas laporan itu, polis membongkar sikap buruk ibu bapa terbabit yang sebenarnya tidak pernah ambil peduli kehidupan anak mereka meminta sedekah di sekitar Chow Kit bagi membeli makanan dan kadangkala bermain video di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, berdasarkan maklumat awam, dua beradik itu dibantu seorang penduduk yang menetap berhampiran HKL, namun mereka hilang arah apabila lelaki itu bertugas seminggu di luar daerah.

“Apabila anaknya tidak pulang ke surau yang menjadi kediaman mereka, pasangan itu menuduh penduduk terbabit melarikan anak mereka dan membuat laporan polis.

“Polis menjalankan operasi dua minggu mencari kanak-kanak itu sedangkan ibu bapa mereka seperti tidak kisah dengan kehilangan itu sehingga dimaklumkan JKM yang kanak-kanak terbabit sudah diselamatkan dan ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak di Cheras sehari selepas hilang,” katanya.

Ku berkata, siasatan terhadap ibu bapa berkenaan mendapati dua beradik itu tiada sijil kelahiran kerana tidak sah taraf.

Ku berkata siasatan lanjut mendapati ibu terbabit mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan pasangan itu akan disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 kerana cuai.

JKM juga dalam proses mendapatkan perintah mahkamah bagi meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan mereka.

bagi membolehkan dua beradik itu menikmati kehidupan lebih sempurna. “Perkara ini menyedihkan kerana ada ibu bapa tergamak membiarkan zuriat yang masih kecil membawa hala tuju sendiri sedangkan anak mereka memerlukan kasih sayang dan pelajaran,” katanya.

Selain itu, Ku berkata siasatan lanjut mendapati ibu terbabit mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan pasangan itu akan disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 kerana cuai.

JKM juga kini dalam proses mendapatkan perintah mahkamah bagi meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan mereka bagi membolehkan dua beradik itu menikmati kehidupan lebih sempurna

No comments:

Post a Comment