Search This Blog

Monday, June 21, 2010

1,400 pasang kasut tiruan dirampas


SEREMBAN 20 Jun - Sebanyak 1,400 pasang kasut tiruan jenama Crocs bernilai kira-kira RM30,000 dirampas dalam operasi di sekitar pusat perniagaan Dataran Senawang, di sini semalam.
Dalam operasi pada pukul 8.45 malam itu, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri yang bertindak atas maklumat awam menyerbu tiga lokasi membabitkan sebuah gerai dan dua di kaki lima pusat perniagaan tersebut.
Ketua Operasinya, Mohd. Hisam Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kasut buatan dari negara China itu adalah tiruan dan pihaknya merampas kesemua barangan tiruan berkenaan.
"Dalam operasi ini pihak kami telah melakukan pemeriksaan lanjut dan menyerbu tiga lokasi iaitu dua di kaki lima berdekatan sebuah bank dan sebuah gerai di dalam tapak ekspo.
"Kesemua barang itu dibawa ke stor pejabat PPDNKK negeri di Seremban 2 untuk tindakan lanjut," katanya.
Tambah beliau, tiga lelaki berusia 20-an dipercayai peniaga di premis itu turut disoal siasat dalam operasi tersebut.
"Mereka tidak ditahan tetapi dikenakan tindakan mahkamah mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 iaitu hukuman denda.
"Mengikut akta berkenaan, bagi pemilik persendirian, mereka akan didenda RM100,000 untuk kesalahan pertama dan RM200,000 (kesalahan kedua) manakala pemilik syarikat pula masing-masing RM250,000 dan RM500,000,'' katanya.
Kata Mohd. Hisam, kes itu disiasat di bawah Seksyen 3 (1) (b) akta yang sama kerana menawarkan untuk menjual kasut yang disyaki menggunakan cop dagangan palsu.

No comments:

Post a Comment