Search This Blog

Saturday, June 12, 2010

12 meringkuk di penjara Indonesia





KUALA LUMPUR 11 Jun – Seramai 12 rakyat Malaysia kini dilaporkan meringkuk dalam penjara di Indonesia atas kesalahan menyeludup dadah dalam tempoh lima bulan pertamatahun ini – peningkatan hampir sekali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Sumber polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berkata, kesemua mereka yang ditahan oleh Kastam dan Polis Indonesia adalah sebahagian daripada 42 rakyat asing yang diberkas oleh pihak berkuasa republik terbabit kerana menyeludup dadah.
Selain rakyat Malaysia, katanya, terdapat warga Iran, India, Filipina, Perancis dan Nigeria yang dipenjarakan di Indonesia atas kesalahan yang sama.
“Berdasarkan maklumat, kebanyakan rakyat Malaysia diberkas kerana cuba menyeludup dadah jenis syabu dan ekstasi ke Indonesia melalui beberapa lapangan terbang utama di negara itu termasuk Jakarta, Surabaya dan Bali.
“Kebanyakan suspek dikesan menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur atau Hong Kong dengan menyembunyikan dadah berkenaan dalam bagasi, diikat pada pinggang atau disembunyikan pada seluar dalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut sumber itu, sepanjang tempoh lima bulan, sebanyak 118,000 biji pil ekstasi, 83 kilogram ketamin, syabu (152 kilogram), kokain (162 gram) dan pelbagai lagi jenis dadah psikotropik dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia.
Katanya, kebanyakan suspek apabila disiasat mengaku sanggup melakukan jenayah itu kerana dijanjikan upah lumayan oleh rangkaian sindiket dadah antarabangsa.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun ketika dihubungi memberitahu, pihaknya menerima maklumat daripada polis Indonesia mengenai penahanan rakyat Malaysia atas kesalahan menyeludup dadah dari Kuala Lumpur dan Hong Kong.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua rakyat Malaysia yang dipenjarakan di negara berkenaan bekerja sebagai kurier dadah.
Katanya, terdapat kes rakyat Malaysia ditahan kerana membawa dadah untuk kegunaan sendiri.
Kata beliau, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan polis Indonesia dan Hong Kong untuk menangani masalah penyeludupan dadah melalui pertukaran maklumat dan mengadakan pertemuan dua hala.
Difahamkan, kes terbaru rakyat Malaysia ditahan kerana dadah di Indonesia dilaporkan berlaku pada 28 Mei lalu membabitkan seorang pondan.
Suspek berusia 52 tahun yang menyamar sebagai pelancong diberkas oleh pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya, Jawa Timur semasa cuba menyeludup syabu seberat 500 gram bernilai lebih RM50,000 dengan taktik melilitkan bungkusan dadah berkenaan di perutnya.
Suspek merupakan salah seorang anggota sindiket penyeludupan dadah antarabangsa ditahan sebaik sahaja turun dari pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong.
Seminggu sebelum itu, dua lelaki rakyat Malaysia masing-masing berusia 21 dan 27 tahun turut ditahan di lapangan terbang sama selepas cuba menyeludup syabu seberat dua kilogram yang dililitkan di pinggang mereka.

No comments:

Post a Comment