Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Warga Pakistan khalwat cuba rasuah dijel

MELAKA: Seorang peniaga bingkai kayu warga Pakistan dihukum penjara 24 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas mengaku bersalah cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam (Jaim) supaya dilepaskan atas kesalahan berkhalwat di Bachang.
MELAKA: Seorang peniaga bingkai kayu warga Pakistan dihukum penjara 24 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas mengaku bersalah cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam (Jaim) supaya dilepaskan atas kesalahan berkhalwat di Bachang.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Habib Ur Rahman, 39, selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan dan hujah Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menetapkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu kelmarin dan hukuman tambahan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa bersetuju memberikan suapan kepada Pegawai Penguat kuasa Jaim, Zulkifli Zainal sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya yang ditangkap atas kesalahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu berkurung mendatangkan syak dengan seorang perempuan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hotel Yong An, Jalan Tun Perak, dekat sini, kira-kira jam 11.25 pagi kelmarin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan, jika disabitkan.

Berdasarkan fakta kes dikemukakan Pegawai Pendakwa SPRM, Penguasa Mokhtar Sani, tertuduh yang memiliki pasport No 6033601 ditahan di sebuah bilik hotel dan ketika dibawa turun ke van Jaim oleh Zulkilfli, tertuduh merayu meminta dilepaskan dan berkata ‘berapa tuan mau, cakap saja’.

Sementara itu, pada prosiding berasingan di Mahkamah Tinggi Syariah, petang kelmarin, Habib Ur Rahman turut didenda RM2,500 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang wanita Melayu berusia 40 tahun di hotel terbabit.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Mohd Asri Tahir menangguhkan keputusan hukuman terhadap wanita terbabit pada 25 Mei ini, selepas dia pengsan tiba-tiba di dalam kandang pesalah sebelum hukuman dijatuhkan.

No comments:

Post a Comment