Search This Blog

Monday, May 31, 2010

Warga emas maut dilanggar kereta




PARIT BUNTAR - Seorang warga emas maut setelah basikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta di Jalan Taiping berhampiran stesen minyak Shell di sini, kira-kira jam 1.20 pagi, kelmarin. 

Mangsa, Whang Song Sin, 63, ketika kejadian dalam perjalanan pulang selepas membeli barang keperluan dari kedai runcit berhampiran. 

Dia maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan lebih menyedihkan beberapa buku roti yang dibeli sebelum itu bertaburan di atas jalan. 

Anak saudara mangsa yang enggan namanya dikenali berkata, bapa saudaranya itu tinggal bersendirian kerana kedua-dua anaknya bekerja di Singapura dan Sarawak. 

Menurutnya, mangsa adalah seorang yang peramah dan dikenali ramai di kawasan itu. 

“Saya terkejut apabila dimaklumkan rakan, bapa saudara meninggal kerana terlibat kemalangan dan saya terus ke sini. 

“Kedua-dua anaknya sudah dihubungi dan mereka dalam perjalanan pulang,” katanya yang ditemui di tempat kejadian. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. 

Menurutnya, kejadian itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian terbabit diharap dapat tampil memberi maklumat kepada polis bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment