Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Tuanku Ismail akan terus diperiksa panel kerajaan



KOTA BHARU 10 Mei - Panel perubatan yang dilantik kerajaan negeri untuk memantau tahap kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dijangka membuat beberapa lagi pemeriksaan terhadap baginda sebelum laporan penuh diserahkan kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra dan kerajaan negeri.
Menurut sumber, pemeriksaan tersebut dibuat untuk mengetahui perkembangan tahap kesihatan Tuanku Ismail Petra daripada pelbagai sudut untuk rawatan dan tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, pemeriksaan susulan tersebut akan dibuat beberapa kali lagi dan dijangka tidak mempunyai sebarang halangan.
"Saya dimaklumkan pihak Peguam Negara telah menghubungi pihak Raja Perempuan Kelantan (Tengku Anis Tengku Abdul Hamid) dan hasil perbincangan tersebut telah wujud persefahaman untuk membenarkan baginda diperiksa oleh 10 pakar perubatan yang dilantik itu.
"Pemeriksaan awal telah dilakukan pada Jumaat dan Sabtu lalu semasa baginda ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan, laporan panel perubatan hasil daripada pemeriksaan kali pertama telah siap dan diserahkan kepada kerajaan negeri dan Tengku Muhammad Faris Petra.
Bagaimanapun, pakar perubatan peribadi baginda, Dr. Amir Ramli dilaporkan mempertikaikan pemeriksaan mengejut oleh rombongan panel pakar perubatan itu ketika Tuanku Ismail Petra masih dalam keadaan tertekan setelah dihalang ke Singapura.
Semalam, Sultan Kelantan berangkat balik ke Istana Mahkota selepas enam hari dimasukkan ke wad diraja HUSM.

No comments:

Post a Comment