Search This Blog

Monday, May 24, 2010

Trauma tanah runtuh


Johor: 
Oleh Mahani Ishak

2010/05/24

Penduduk Taman Bukit Tiram bimbang jalan baru ditampal kembali mendap

ULU TIRAM: Ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Tiram percaya mendapan tanah menjadi punca kepada masalah jalan yang baru ditampal Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dalam tempoh sebulan lalu kembali mendap. 

Dengan musim hujan kebelakangan ini, mereka khuatir kejadian tanah runtuh yang pernah berlaku empat tahun lalu berulang lagi.
Tinjauan Edisi Johor mendapati kawasan berkenaan berisiko tinggi berikutan kedudukannya hampir dengan parit besar, selain terletak hampir dengan lereng bukit menyebabkan kejadian tanah runtuh yang menghantui penduduk berhampiran mungkin berulang sekiranya langkah keselamatan tidak diambil segera pihak berkaitan.
Seramai 1,300 murid SK Taman Bukit Tiram yang bersekolah sesi pagi, manakala 700 lagi murid Sekolah Kebangsaan Tamil menggunakan sekolah sama bagi waktu petang, bakal berdepan risiko apabila dianggarkan empat bas sekolah dan sembilan van sekolah berulang-alik membawa murid pada waktu puncak, menyumbang kepada punca mendapan tanah semakin serius. 

Pengerusi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Bakar Hamid, 49, berkata penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati bangunan itu selamat, tetapi perkara itu meragukan pihak guru dan penjaga apabila banyak keretakan serius dapat dilihat pada beberapa bangunan di sini. 

“Empat tahun lalu, pernah berlaku tanah runtuh membabitkan beberapa bangunan sekolah ini, jadi PIBG bimbang kejadian sama akan berulang kerana bangunan di sepanjang 200 meter ini jelas menunjukkan kesan mendapan baru dan lama. 

“Paling membimbangkan, bangunan terbabit turut menempatkan pelajar prasekolah, selain kuarters guru dikhuatiri boleh runtuh, lebih-lebih lagi keadaan semasa yang kerap hujan," katanya. 
Bakar berkata, keadaan mendapan itu makin serius sejak dua tahun kebelakangan ini tetapi tindakan lanjut pihak berkenaan masih dinantikan walaupun banyak aduan dibuat pihak sekolah belum ditangani kerana pihak berkenaan berdepan masalah peruntukan. 

“Berhubung aduan yang dibuat, kami dimaklumkan pihak berkaitan masih menunggu peruntukan kerajaan bagi mengatasi masalah berkenaan. Bagi kerosakan kecil seperti masalah gangguan elektrik, pihak sekolah menggunakan perbelanjaan sendiri bagi memastikan anak kami belajar dengan selesa," katanya. 

Peniaga, Abdul Salam Hamid, 46, mendakwa sekolah berkenaan yang mula dibuka pada 2004, berada dalam keadaan kurang selamat kerana boleh membahayakan nyawa pelajar yang menaiki bas ke sekolah ketika melalui kawasan mendapan laluan masuk utama sekolah berkenaan. 

“Keadaan ini membahayakan pelajar apabila berlaku pertembungan dua bas di laluan sama, menyebabkan bas yang dalam perjalanan keluar dari kawasan sekolah nyaris terhumban ke parit bersebelahan ketika melalui jalan yang semakin mendap," katanya. 

Abdul Salam berkata, pertembungan antara bas dan kenderaan penjaga yang diatasi dengan membuka satu jalan lain bagi membolehkan kenderaan hanya bergerak dalam satu hala saja. 

Mekanik, Mohd Sam Kunji Ai, 46, suami kepada seorang guru di sekolah berkenaan, mula mendiami kuarters berkenaan sejak sekolah dibuka berkata, masalah bangunan retak yang membabitkan kediaman guru itu semakin serius menyebabkan penghuni menyelesaikan masalah terbabit dengan sendiri. 

“Penilaian dari JKR memaklumkan bangunan ini masih selamat kerana struktur bangunannya diperbuat dari konkrit, tetapi bagi penghuni keadaan ini mendedahkan risiko kerana bangunan ini jelas menunjukkan tanda keretakan serius. 

“Kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana bangunan ini milik kerajaan, namun bagi mengatasi tiang konkrit yang semakin condong kami terpaksa mencari alternatif dengan mengikat tiang yang hampir tumbang bagi mengelak ia runtuh menyembah bumi. Selain itu, kanak-kanak tidak lagi dibenarkan bermain bola sepak di kawasan berisiko runtuh di ruang parkir kenderaan pemilik kuarters, " katanya. 

Sementara itu, jawatan kuasa PIBG meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), MBJBT, JKR dan agensi lain memberi perhatian sewajarnya kerana sekiranya runtuhan sebenar terjadi, semua pihak akan saling menuding jari, tetap memberikan kesan besar kepada kelancaran sesi persekolahan pihak terbabit untuk tujuan pemulihan semula.

No comments:

Post a Comment