Search This Blog

Thursday, May 6, 2010

Tolak rasuah: SPRM iktiraf IPK




KUANTAN - Nilai integriti tinggi di kalangan warga Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang dalam kesungguhan penolakan amalan rasuah diiktiraf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Pada masa yang sama peranan penyelia atasan menyelia anggota bawahan daripada terjebak dengan amalan rasuah berjaya mengangkat imej baik pasukan itu sekali gus terpilih memenangi Piala Pusingan Integriti Menteri Besar Pahang anjuran SPRM yang julung-julung kali diadakan. 

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, nilai integriti ditunjukkan 10 pegawai dan anggotanya yang menolak sogokan rasuah membolehkan pengiktirafan bermakna itu diberikan kepada polis Pahang. 

Menurutnya, pertandingan itu julung kali diadakan dan kontinjen Pahang mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi penerima pertama piala berkenaan. 

“IPK memandang serius gejala rasuah di kalangan warganya malah Ketua Polis Pahang sendiri memberi arahan tegas kepada anggota supaya menolak sebarang kegiatan rasuah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Sharifuddin berkata, anugerah yang diterima itu menjadi satu cabaran kepada warga IPK Pahang dan akan memperta-hankannya pada tahun hadapan dan seterusnya. 

“Selain nilai integriti tinggi, peranan penyelia atasan dalam menyelia anggota bawahan antara faktor-faktor penolakan rasuah di kalangan anggota polis berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata, sepanjang 2008 hingga 2009, hanya dua pegawai dan lima anggota ditahan SPRM berhubung kes rasuah. 

“Berdasarkan statistik, hanya seorang pegawai dan empat anggota polis ditahan sepanjang 2008 manakala seorang pegawai dan seorang anggota pada 2009. 

“Perbandingan antara dua tahun berkenaan menunjukkan pegawai dan anggota polis kontinjen Pahang yang ditangkap SPRM turun sebanyak 60 peratus,” katanya.

No comments:

Post a Comment