Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Tertuduh mengaku tak salah sebabkan 2 kematian



KOTA BHARU 10 Mei - Seorang penjaga sarang burung layang-layang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian dua pengunjung di pusat beli-belah KB Mall di sini pada 6 Disember tahun lalu.
Mohd. Sabri Jusoh, 28, berasal dari Kampung Gertak Seratus, Besut, Terengganu yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Haslinda Che Seman.
Tertuduh memakai kemeja T berwarna merah kelihatan tenang ketika memohon supaya kesnya dibicarakan tanpa peguam.
Mohd. Sabri didakwa dengan cuai telah menyebabkan kematian Siti Nor Amira Shamsudin, 20, dan Siti Nur Dianah, 19, pada pukul 5.10 petang, 6 Disember tahun lalu selepas kereta yang dikatakan ditolak olehnya melanggar tembok sebelum terjunam ke dalam kawasan pusat beli-belah KB Mall di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Noor Haslinda membenarkan Mohd. Sabri diikat jamin RM5,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Jun ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hafiz Abdul Rahman.
Akhbar sebelum ini melaporkan, dua sahabat maut manakala dua lagi parah apabila sebuah kereta yang hilang kawalan terjunam dari aras atas tempat letak kenderaan sebelum terhempas ke dalam pusat beli-belah itu.
Seorang lagi rakan mereka Rashidah Ahmad Latfi, 18, dari Besut cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.
Kesemua mangsa yang dipercayai ditimpa serpihan runtuhan semasa di eskalator tingkat dua bangunan itu, merupakan penuntut di sebuah kolej kejururawatan berhampiran pusat beli-belah itu.
Pemandu kereta tersebut, Norain Said, 19, cedera parah selepas kenderaan itu yang dikatakan ditolak oleh seorang lelaki, melanggar tembok sebelum terjunam ke dalam pusat belah.

No comments:

Post a Comment