Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Tangan hilang kena baham

SANDAKAN: Misteri kehilangan seorang renjer Jabatan Perhutanan Sabah di Hutan Simpan Lung Manis, dekat sini, sejak 4 Mei lalu, terjawab apabila mayatnya ditemui dalam keadaan ngeri dengan kaki dan tangan kanan mangsa hilang dipercayai dibaham binatang liar manakala sebahagian badannya sudah berulat.
Mayat Alisius Piging Ampin, 50, ditemui sekumpulan anggota yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat kira-kira jam 11.40 pagi semalam berada dalam keadaan terlentang dan masih berpakaian lengkap.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Razali Awang Ahmad berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari pondok kediamannya dalam keadaan separuh reput.

“Sepasukan penyelamat yang terhidu bau busuk mayat terus melakukan pencarian dan terlihat sekumpulan babi hutan mengerumuni sesuatu.

“Selepas menghalau kumpulan babi hutan itu, mereka ternampak mayat mangsa dalam keadaan ngeri dan menyayat hati,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Razali berkata, pihaknya membawa keluar mayat berkenaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Ketika operasi menyelamat, keluarga mangsa turut berada di pusat operasi yang terletak berhampiran kediaman mangsa dan tidak dapat menahan sedih apabila dimaklumkan penemuan satu mayat berulat.

“Keluarga mangsa yang tiba ke tempat kejadian untuk pengecaman mangsa mengesahkan ia mayat Alisius,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Jelinah Ampin, 46, ketika dihubungi memberitahu kali terakhir bertemu abangnya itu di Pasar Tamu Telupid kira-kira dua minggu lalu.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan kehilangan abang pada 9 Mei lalu oleh seorang pegawai renjer yang datang ke rumah kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment