Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Stacy sedih

Stacy sedih

KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran program realiti televisyen, Stracie Angie Anam atau lebih dikenali Stacy, 20, terkilan kerana kereta dimenangi sebagai juara Akademi Fantasia ke-6 (AF6) remuk selepas terbabit kemalangan jalan raya di ibu negara, Ahad lalu.
Bagaimanapun, penyanyi kelahiran Sabah itu bersyukur kerana abangnya yang memandu Peugeot 307 bernilai lebih RM70,000 itu terselamat dan hanya cedera, termasuk patah kaki.
Dalam insiden awal pagi Ahad lalu, abang kepada Stacy yang dikenali sebagai Chelton, 26, nyaris maut apabila kereta dipandunya gagal dikawal sebelum merempuh pembahagi jalan di Bandar Baru Kinrara, Puchong, dekat sini.

Ketika kejadian, Chelton berseorangan dalam kereta terbabit manakala penyanyi berkenaan difahamkan sedang bercuti dan hanya dimaklumkan insiden berkenaan oleh ahli keluarganya.

Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai ‘berpantang maut sebelum ajal’, Stacy berkata, dia sering terkenangkan kereta dihadiahkan kepadanya itu, namun lega nyawa abangnya tidak melayang bersama kenderaan dipandunya.

Stacy berkata, abangnya yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Serdang (HS) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mujur dia (abang) selamat biarpun turut mengalami patah kaki selain buku lalinya hancur dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan jenama Clinelle dan perisytiharan Stacy sebagai duta produk berkenaan.

Harian Metro difahamkan kereta berkenaan dihadiahkan kepada Stacy selepas dinobatkan sebagai juara AF6 dan diserahkan kepada penyanyi bersuara lantang itu sejak Mac tahun lalu.

Stacy yang dilahirkan di Kota Kinabalu dan menuntut di Sekolah Menengah St Michael, Penampang sebelum menyerlah sebagai penyanyi ketika ditemu bual jelas kelihatan sugul, malah turut bersedih dengan kehilangan kereta yang sangat disayanginya itu.

Tanpa berselindung, penyanyi genit itu mengakui dia amat terasa kehilangan kereta yang dianggapnya sebagai hadiah sangat berharga buat dirinya.

Sementara itu, Pegawai Trafik Selangor, Asisten Superintendan Hambazi Abdul Rahman, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan dan memberitahu, siasatan masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment