Search This Blog

Monday, May 3, 2010

Sarjan patah kaki akibat dirempuh





Roslan Bachik yang patah kaki kanan akibat dirempuh motosikal kelmarin menerima kunjungan rakan-rakan setugas di Hospital Serdang, Serdang, semalam.


SERDANG 2 Mei - Tindakan seorang lelaki dan anaknya yang menaiki sebuah motosikal melarikan diri dari satu sekatan jalan raya, memberi impak yang cukup menyeksakan seorang anggota polis trafik apabila dia patah kaki kanan akibat dirempuh oleh motosikal itu.
Hanya kerana tidak memiliki lesen menunggang motosikal dan cukai jalan, penunggang berusia 30 tahun itu sanggup menggadaikan nyawanya melarikan diri dari satu sekatan polis di Lebuh Raya Damansara Puchong petang semalam.
Akibatnya, dalam kejadian yang berlaku pukul 5.10 petang, Sarjan Roslan Bachik, 49, cedera di kaki kanan setelah dilanggar oleh motosikal jenis Honda EX-5 dinaiki dua beranak terbabit.
Roslan yang kini dirawat di Hospital Serdang berkata, kejadian berlaku terlalu pantas ketika dia bersama lima rakan sejawatnya sedang mengadakan sekatan jalan raya di lebuh raya itu.
"Tiba-tiba muncul sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki bersama seorang budak dipercayai anaknya menuju ke arah saya dan terus merempuh kaki kanan saya.
"Berikutan kejadian itu, saya terus terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya yang bertugas di Cawangan Trafik, Balai Polis Seri Kembangan sejak tahun 2004.
Roslan, yang mula menyertai Polis Diraja Malaysia sejak tahun 1981 kini stabil dan dirawat di Wad Ortopedik hospital tersebut.
Beliau akan menjalani beberapa pembedahan selepas ini akibat kaki kanannya patah dan dijangka terpaksa terlantar di hospital selama enam bulan.
Penunggang motosikal terbabit ditahan oleh polis sejurus selepas kejadian itu.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Deputi Supritendan Tengku Anuar Raja Husin turut mengunjungi Roslan di hospital itu hari ini.
Beliau ketika ditemui menasihatkan orang ramai supaya jangan lari daripada sekatan jalan yang dilakukan pihak polis bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

1 comment: