Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Saiful tidak cuci dubur





KUALA LUMPUR 13 Mei - Pengadu dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak mencuci duburnya selepas diliwat pada 26 Jun 2008 kerana mahu menyimpan bukti.
Semasa menyambung keterangan pada sesi soal balas oleh peguam bela Karpal Singh, pemuda tersebut berkata, pada tarikh berkenaan, dia hanya mandi pada waktu pagi (sebelum kejadian) dan selepas itu, dia hanya membilas badannya.
Karpal Singh (KS): Adakah kamu cuci badan keseluruhan?
Mohd. Saiful Bukhari (MSB): Pagi mandi sepenuhnya, selepas itu saya bilas.
KS: Anus?
MSB: Tidak kerana saya mahu simpan bukti.
Menurutnya, walaupun berpeluang membuat laporan polis pada 26 dan 27 Jun 2008 ketika bukti itu masih baru, dia tidak bertindak demikian kerana ingin mendapatkan nasihat terlebih dahulu memandangkan ia melibatkan maruah dan masa depannya.
KS: Petang 28 Jun 2008 (buat laporan), kenapa hari itu bukan sebelumnya?
MSB: Saya ingin mendapatkan beberapa nasihat sebelum buat laporan, daripada pak cik saya dan orang-orang yang saya jumpa, Datuk Mumtaz (Mumtaz Jaafar), Rahimi (Rahimi Osman), Saudara Ezam (Ezam Mohd. Noor) dan seorang guru agama pada 28 (haribulan) pagi.
Dalam keterangannya, pemuda berusia 25 tahun itu juga mendakwa ada menceritakan kepada seorang pegawai polis tentang dia pernah diliwat beberapa kali di dalam dan luar negara iaitu Hong Kong, Singapura serta Bangkok.
Terdahulu, Mohd. Saiful Bukhari telah ditunjukkan oleh Karpal satu laporan daripada portal berita propembangkang Malaysiakini bertarikh 15 Ogos 2008 berhubung sidang akhbarnya selepas bersumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan.
Pada awalnya, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden membantah dengan alasan ia adalah keterangan dengar cakap tetapi permohonan pendakwa raya itu ditolak oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini sementara menunggu rayuan bagi mendapatkan rakaman percakapan pengadu dalam kes liwatnya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan menolak penangguhan tersebut selepas mendapati tiada keadaan istimewa dikemukakan dalam afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Ketua Pembangkang itu bagi menyokong permohonan itu.
Selepas Mohd. Saiful Bukhari selesai membaca laporan tersebut, Karpal bertanya kepadanya sama ada laporan berkenaan adalah betul.
''Ada kesilapan di muka surat tiga apabila saya kata ini kali pertama saya diliwat,'' kata anak sulung daripada dua beradik itu dengan alasan dia tersilap mentafsir soalan wartawan.
Karpal terus mengasak saksi itu dengan bertanya adakah bahagian lain laporan tersebut adalah benar menyebabkan Mohd. Saiful Bukhari mendakwa peguam bela itu cuba memerangkapnya.
Selepas mengambil masa yang lama untuk membaca semula laporan itu, saksi utama pihak pendakwa itu berkata, dia tidak boleh mengesahkan seratus peratus bahawa kandungan laporan itu adalah betul.
KS: Saya katakan kepada kamu, kamu menipu di dalam mahkamah ini?
MSB: Saya tidak setuju.
KS: Saya katakan kepada kamu, kamu berbohong dalam mahkamah apabila menyatakan dalam keterangan kamu berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di kediaman Timbalan Perdana Menteri pada 24 Jun 2008 dan buat aduan kamu diliwat oleh Datuk Seri Anwar beberapa kali?
MSB: Tidak setuju.
Karpal kemudian beralih kepada soalan adakah saksi itu penyokong kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Mac 2008 tetapi turut dibantah Mohd. Yusof kerana mendakwa soalan tersebut tidak relevan berikutan tidak wujud konspirasi politik dalam kes tersebut.
Setelah dibenarkan oleh hakim, Mohd. Saiful Bukhari yang memakai kot hitam dan kemeja putih menjawab soalan itu dengan mengakui dia penyokong BN tetapi mengundi (semasa pilihan raya) R. Sivarasa dan Elizabeth Wong.
''Sokong BN tapi undi PKR (Parti Keadilan Rakyat), pengkhianat bukan?'' soal Karpal sehingga mengundang gelak tawa dari galeri awam dan saksi itu sendiri.
KS: Saya katakan, kamu penyokong kuat BN tapi kamu undi PKR, ini bermakna kamu pengkhianat?
MSB: Tidak.
KS: Apa yang terjadi (diliwat pada 26 Jun 2008), dirancang oleh kamu dengan bantuan daripada polis dan Timbalan Perdana Menteri (ketika itu)?
MSB: Tidak setuju.
KS: Kenapa jumpa dengan SAC I, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof pada 24 haribulan?
MSB: Saya ceritakan masalah saya diliwat beberapa kali di dalam dan luar negara, Hong Kong, Singapura dan Bangkok.
KS: Ada banyak tapi dalam Malaysiakini satu kali? Saya cakap kamu pembohong, pembohong besar!
MSB: Tidak setuju.
Mengenai kejadian pada 26 Jun 2008, katanya, dia mengambil masa selama satu jam untuk pergi ke Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara walaupun jaraknya tidak jauh dari pejabat PKR di Petaling Jaya.
Ini kerana, dakwanya, semasa hendak keluar dari pejabat Anwar, dia perasan ada motosikal mengekori keretanya dan dia telah bertindak cuba menghilangkan diri.
Setibanya di tempat letak kereta kondominium itu pada pukul 2.45 petang, kata saksi tersebut, dia terus menaiki lif ke unit 11-5-1 milik Hasanudin Abdul Hamid yang turut memiliki unit 11-5-2 yang terletak berhadapan di tingkat sama.
Semasa tiba di unit 11-5-1, katanya, daun pintunya tertutup tapi tidak berkunci dan Anwar berada di dalamnya.
Tiba di peringkat ini, Karpal memohon perbicaraan dijalankan secara tertutup menyebabkan Hakim Mohamad Zabidin secara bergurau berkata, lazimnya dalam kes jenayah, pihak pendakwaan yang memohon sedemikian dan bukannya peguam bela.
Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan tersebut.

No comments:

Post a Comment