Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Rumah menggelongsor



Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2010/05/11

KEADAAN persekitaran rumah   yang menggelongsor ke tebing Sungai Tebobon di  Menggatal, pagi semalam.
KEADAAN persekitaran rumah yang menggelongsor ke tebing Sungai Tebobon di Menggatal, pagi semalam.
Tiga beradik nyaris maut kediaman ditimpa tanah runtuh 

KOTA KINABALU: Tiga beradik nyaris maut selepas rumah didiami di lereng bukit Kampung Tebobon, Menggatal, dekat sini, menggelongsor ke tebing Sungai Tebobon ditimpa tanah runtuh dipercayai kesan banjir kilat di kampung itu, kira-kira jam 6 pagi semalam.
Rohaizah Amit, 14, cedera di kaki kiri kerana dihempap almari dan masih trauma dengan kejadian itu manakala abangnya, Rahmat, 20, hampir terhumban ke sungai selepas terjatuh dari katil.
Kakak mereka, Rohaimi, 22, yang terkunci di bilik pula nekad untuk terjun dari tingkap ke sungai deras berhampiran bagi menyelamatkan diri tetapi sempat dihalang oleh teriakan Rahmat. 

Rahmat yang pantas keluar dari bilik menyelamatkan Rohaizah yang tersepit di bawah almari sebelum menendang pintu bilik kakaknya sebelum semuanya bergegas keluar menyelamatkan diri ke kaki bukit. 

Ketika kejadian, bapa mereka, Amit Alan, 55, dan ibu, Amidah Awang Hamid, 48, secara kebetulan keluar bagi melihat keadaan kereta yang dipindahkan petang kelmarin selepas Kampung Tebobon dilanda banjir kilat. 

Pasangan itu yang menerima panggilan daripada sepupu Amidah, Sailan Safari, 45, bergegas pulang dan bersyukur sebaik melihat anak mereka selamat. 
Amit berkata, sebatang pokok mempelam di tebing Sungai Tebobon menjadi penyelamat kerana bertindak sebagai benteng yang menahan rumah mereka daripada dihanyutkan arus deras. 

“Kami bersyukur melihat semua anak selamat. Rumah rosak teruk boleh dibaiki tetapi nyawa anak tiada galang-ganti,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. 

Penduduk kampung turut membantu memindahkan barang keluarga berkenaan ke Dewan Serbaguna Kampung Tebobon. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Ariffin Harris, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.30 pagi dan tiba ke tempat kejadian 30 minit kemudian. 

Katanya, tiga jentera bersama 18 anggota dan sebuah jet ski digerakkan bagi membantu memindahkan mangsa ke Dewan Serbaguna Kampung Tebobon. 

“Kampung Tebobon dilanda banjir kilat sejak petang semalam dan kita memantau perkembangan itu serta bergerak membantu sebaik dimaklumkan oleh orang awam,” katanya.

No comments:

Post a Comment