Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Polis rampas heroin RM100,000



GEORGETOWN - Polis menahan seorang lelaki dan merampas heroin bernilai RM100,000 dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Greenlane 7 Mei lalu. 

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, lelaki berusia 30-an itu yang bekerja sebagai juruteknik bangunan, ditahan kira-kira jam 3.15 petang. 

“Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) menyerbu pangsapuri itu dan merampas heroin seberat 1,921 gram. Polis turut merampas sebuah kereta Toyota Vios dan barang kemas bernilai RM3,000. 

“Suspek ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Khas Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, semalam. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. 

“Namun polis masih menyiasat secara terperinci untuk mengesan sama ada suspek terbabit dengan sindiket mengedar dadah atau beroperasi bersendirian. Tangkapan ini adalah hasil rondaan polis di kawasan panas dan hasil maklumat orang ramai,” katanya. 

Ayub berkata polis turut memberi tumpuan kepada kawasan lain dalam usaha memerangi dadah bersama komuniti. 

“Kini kawasan perumahan menjadi sasaran (sindiket dadah) dan tumpuan polis untuk memastikannya bebas daripada jenayah, bekalan dadah dan penagih. Polis mengawasi kawasan perumahan termasuk teres dan rumah pangsa berikutan aduan orang ramai bahawa kawasan mereka tidak selamat dihuni akibat kehadiran orang mencurigakan berkeliaran termasuk warga asing,” katanya. 

Menurutnya, operasi dan pemantauan hasil maklumat komuniti tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) begitu menggalakkan bagi mewujudkan kawasan kediaman bebas dan selamat daripada gejala tidak diingini.

No comments:

Post a Comment