Search This Blog

Monday, May 3, 2010

Polis panggil semula tiga saksi





SHAH ALAM 2 Mei – Tiga saksi kes seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, yang maut setelah terkena tembakan anggota polis di Seksyen 11 di sini pada 26 April lalu, dipanggil semula untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Mereka ialah saksi utama iaitu Azamuddin Omar, 15, rakan Allahyarham yang berada di sebelah tempat duduk pemandu kereta ketika kejadian itu berlaku serta kakak dan abang ipar Allahyarham, Tuty Shaninza Anom Amzah, 36, dan Muzafar Mahali, 36.
Peguam N. Surendran yang mewakili keluarga Allahyarham memberitahu, beliau difahamkan ketiga-tiga saksi itu dipanggil berikutan arahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail kelmarin supaya polis Selangor terus menjalankan siasatan terhadap kes itu.
Menurutnya, saksi utama disoal siasat oleh Deputi Supritendan Nazri Zawawi manakala dua lagi saksi disoal siasat oleh Asisten Supritendan Halim Ismail.
“Azamuddin ditanya empat soalan, antaranya kedudukan mangsa selepas ditembak dan dia memberitahu polis bahawa mangsa rebah di atas pahanya dalam keadaan kepala berdarah.
“Saksi juga dengan jelas memberitahu polis tiada senjata dalam kereta. Jawapan yang sama juga diberikan oleh Tuty dan Muzafar bahawa tidak pernah meletakkan senjata atau parang dalam kereta itu kecuali bantal budak untuk anak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas proses soal siasat yang bermula kira-kira pukul 11.50 pagi itu berakhir sekitar sejam kemudian.
Ketiga-tiga saksi tersebut telah memberi keterangan kepada polis berhubung kes kematian pelajar Sekolah Menengah Seksyen 9 itu selepas insiden tersebut.
Aminulrasyid maut akibat terkena tembakan polis setelah enggan memberhentikan kenderaannya di Seksyen 11 di sini selepas diarahkan berbuat demikian kira-kira pukul 2 pagi.
Selain Surendran, peguam Farhana Abdul Halim dan Fadia Nadwa Fikri turut hadir sebagai mewakil keluarga si mati.
Surendran juga memberitahu, ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid tidak mahu inkues diadakan seperti mana yang disarankan oleh sesetengah pihak kerana bagi mereka, semua fakta sudah jelas iaitu mangsa telah ditembak.
“Bagi mereka, inkues tidak perlu kerana membuang masa sebaliknya pendirian ahli keluarga mangsa adalah jelas bahawa mereka mahu siasatan yang adil.
“Kes ini jelas dengan faktanya serta tiada misteri di sebalik kematian Aminulrasyid. Polis yang menembak mangsa tanpa justifikasi mesti dibawa ke muka pengadilan,” jelasnya.
Beliau berkata, jika sesuatu kejadian itu diragui dan tidak tahu apa yang berlaku barulah inkues diperlukan untuk menentukan pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi enggan mendedahkan berapa ramai lagi saksi yang akan dipanggil semula bagi melengkapkan siasatan.

No comments:

Post a Comment