Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Penyokong Anwar gelar wartawan anjing



KUALA LUMPUR 10 Mei - Tindakan beberapa penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada prosiding perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini boleh dianggap sebagai melampaui batas.
Semuanya berpunca apabila seorang wartawan akhbar The Sun, Tamarai Chelvi, 33, tidak menghiraukan panggilan mereka.
''Bila mahkamah berhenti bersidang buat kali kedua, saya sedang sibuk menaip berita ringkas pada khidmat pesanan ringkas (SMS) telefon saya untuk dihantar ke majikan saya.
''Tiba-tiba saya dengar, dua lelaki India yang duduk di belakang saya memanggil 'Hey girl' (Hei perempuan) dengan nada agak kasar berulang kali tetapi tidak pasti ditujukan kepada siapa kerana terdapat dua lagi wanita yang duduk sebaris dengan saya, jadi saya tak hiraukan.
''Tidak semena-mena, mereka mula kata saya sombong dalam bahasa Inggeris dan menggelar saya anjing dalam bahasa Tamil,'' ujarnya yang sudah 11 tahun bekerja dengan akhbar terbabit.
Kejadian itu tidak berhenti begitu sahaja, apabila kedua-dua lelaki berkenaan dan beberapa orang lagi mula membuat bising terutama apabila saksi utama, Mohd. Saiful Bukhari Azlan memberi keterangan berhubung laporan pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Keadaan itu memaksa Tamarai dan beberapa wartawan lain yang berada di bahagian kiri belakang dewan mahkamah meminta mereka mendiamkan diri tetapi tindakan itu menyebabkan wartawan The Sun itu kembali 'diserang'.
Seorang lagi penyokong Anwar dengan sinis menyuruh wartawan itu keluar dari dewan sekiranya tidak dengar apa yang diperkatakan.
Situasi menjadi bertambah panas apabila Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menangguhkan perbicaraan sehingga esok selepas peguam bela Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Karpal Singh memohon masa untuk menyiapkan hujah bagi mendapatkan kenyataan bersumpah Mohd. Saiful Bukhari.
Pada ketika ini, kedua-dua ahli majlis itu kembali mengganggu Tamarai dengan mendakwa wanita itu telah menghalang laluan yang sememangnya sempit dengan menggunakan perkataan kesat menjurus kepada anggota badan seorang wanita.
Walaupun telah diberi laluan, wartawan terbabit terus dihamburkan dengan pelbagai perkataan dalam bahasa Inggeris dan Tamil termasuk menggelarnya sebagai 'anjing' dan 'monyet hitam'.
Dia juga didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kepada Tamarai dalam bahasa Tamil dan berulang kali meluru ke arah wanita berkenaan untuk memarahinya.
Ekoran insiden itu, beberapa wartawan lain menghalang Tamarai daripada keluar dari dewan sehingga kedua-dua lelaki berkenaan keluar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Wartawan berkenaan selepas keluar dari mahkamah, dilihat menangis dan terkejut dengan kejadian yang menimpanya.
Sehingga pukul 5 petang, Tamarai ketika dihubungi memberitahu, dia masih lagi memikirkan sama ada akan membuat laporan polis atau tidak berhubung perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment