Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Penyamun penduduk kampung sama

Penyamun penduduk kampung sama
JITRA: Seorang penyamun bertindak seperti binatang apabila memijak, menendang dan menumbuk muka seorang nenek semata-mata kerana mahu merampas barang kemas mangsa dalam kejadian di Kampung Perupok, Mukim Malau di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa, Fatimah Mahmud, 72, cedera teruk di muka selepas rayuannya supaya penjenayah terbabit tidak memukulnya tidak diendahkan, sebaliknya mukanya ditutup kain sebelum lehernya dijerut menyebabkan mangsa rebah.
Nenek itu ketika ditemui di Hospital Jitra di sini, semalam berkata, penyamun itu langsung tidak mempunyai belas kasihan ketika membelasahnya.

“Saya merayu supaya dia berhenti memukul saya kerana tak tahan menanggung kesakitan akibat dibelasah bertalu-talu, tapi lelaki itu tidak mengendahkannya,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa kini masih trauma apabila terbayang-bayang wajah penjenayah zalim itu.

Sementara itu, anak mangsa, Suriani Harun, 40, berkata pada hari kejadian, anak lelakinya yang juga cucu mangsa, Mohd Izham Alias, 16, menemani neneknya di rumah, manakala dia, suami dan tiga anak yang lain masing-masing keluar bekerja.

Suriani berkata, ketika itu, seorang lelaki yang juga penduduk kampung sama berusia 20-an serta mengenali keluarganya, datang ke rumah mereka dengan menunggang motosikal dan mengajak Mohd Izham menemaninya ke kedai runcit.

“Disebabkan anak saya mengenali lelaki itu, dia mengikut dengan membonceng motosikal berkenaan. “Namun, sebaik tiba di kedai runcit yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah, lelaki itu meninggalkan anak saya seorang diri di kedai berkenaan.

“Kami mengesyaki selepas meninggalkan Mohd Izham, lelaki terbabit kembali ke rumah kami dan menyamun ibu saya apabila dia berseorangan,” katanya. Suriani berkata, lelaki terbabit menutup muka ibunya dengan kain dan apabila warga emas itu rebah, dia merentap dua rantai emas di leher ibunya.

“Pada waktu sama, lelaki itu turut menarik dua rantai tangan dipakai ibu saya sebelum menendangnya berkali-kali sehingga menyebabkan ibu tersembam ke lantai,” katanya.

Suriani berkata, ibunya bernasib baik apabila Mohd Izham pulang ke rumah tidak lama kemudian dan terkejut apabila mendapati muka neneknya berdarah.

“Mungkin ibu sudah mati kalau anak saya lambat sedikit tiba di rumah kerana ketika itu ibu hampir tidak sedarkan diri dengan kecederaannya agak serius,” katanya.

Suriani yang dimaklumkan kejadian itu oleh Mohd Izham bergegas pulang sebelum dia bersama seorang saudara membawa ibunya mendapat rawatan di Hospital Jitra.
“Ibu saya terpaksa menerima lima jahitan akibat kecederaan sepanjang kira-kira 10 sentimeter di cuping telinganya,” katanya.

Berikutan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu mengenai kejadian berkenaan, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika ditemui mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki kejadian itu membabitkan dua suspek dan polis menjalankan siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment