Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Peniaga rugi RM100,000, cedera di kepala akibat samun



KUANTAN 10 Mei - Tidak sampai seminggu, kumpulan warga Indonesia mengganas lagi di negeri ini, apabila menyamun empat sekeluarga di Felda Bukit Kuantan, di sini awal pagi ini, mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, mangsa yang juga peniaga cedera di kepala selepas diketuk dengan belakang parang dan anak perempuannya pula ditampar tiga penjenayah dipercayai warga terbabit.
Mangsa, Mohd. Isha Hassan, 58, berkata, dia diketuk akibat menengking penyamun terbabit kerana memecahkan peti besi simpanan wang miliknya.
"Mujurlah suspek itu memukul kepala saya dengan belakang parang... Kalau tidak, tentu kepala saya pecah.
"Berikutan kejadian itu, kami sekeluarga kerugian RM100,000," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Dalam kejadian 4 Mei lalu, sebuah keluarga disamun lima lelaki dipercayai warga Indonesia yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Pahang, Sungai Soi di sini.
Sehari selepas itu, sebuah lagi keluarga di Felda Jengka 11, dekat Jerantut, disamun oleh lima warganegara sama.
Mohd. Isha berkata, dia hanya memikirkan keselamatan isterinya, Zainab Talib, 56, anak perempuannya, Syazwani, 18, dan anak saudara lelaki yang tinggal bersamanya, Zul Muhaimin Mohd., 20.
"Kalau ikutkan hati, hendak sahaja saya melawan tetapi apabila mengenangkan keselamatan ahli keluarga yang lain, saya hanya menengking," katanya.
Anak mangsa, Syazwani pula berkata, mukanya ditampar dua kali kerana enggan menyerahkan telefon bimbit miliknya.
"Saya sayangkan telefon bimbit itu, namun apabila melihat parang yang diacukan, saya diamkan diri.
"Lebih-lebih lagi melihat ibu saya yang ketakutan ketika suspek mengambil barang kemas dipakainya," katanya.
Sementara itu, Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, kejadian berlaku ketika kesemua ahli keluarga mangsa sedang nyenyak tidur.
Menurutnya, tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dipercayai warga Indonesia mengikat kaki dan tangan ahli keluarga mangsa.
Katanya, suspek dipercayai memasuki rumah itu melalui tingkap dapur yang diumpil sebelum memecahkan pintu bilik tidur menggunakan tong gas.
"Mangsa kehilangan wang tunai lebih RM60,000, barang kemas bernilai RM50,000, lima telefon bimbit, komputer riba dan kad tambah nilai prabayar bernilai RM200.
"Mangsa hanya cedera ringan di kepala manakala ahli keluarga lain tidak cedera," katanya.

No comments:

Post a Comment