Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Peniaga dipukul jual barang sama

KOTA BHARU: Hanya kerana menjual barangan serupa, seorang peniaga menerima ‘amukan’ dua beranak yang bertindak memukulnya hingga mengalami kecederaan di muka dan leher dalam kejadian di Jalan Pintu Pong, semalam.
Kejadian jam 10.30 pagi itu berlaku sebaik mangsa, Noradidah Nordin, 37, tiba di gerai jualan baju dan tudung miliknya yang terletak di depan sebuah pasar raya dekat sini, sebelum dihampiri rakan niaganya berusia sekitar 40-an.
Perkelahian di depan gerai mangsa bermula dengan babak ‘perang mulut’ antara kedua-dua mereka apabila masing-masing cuba mempertahankan hak untuk menjual kain tudung di tapak terbabit.

Disangkakan perbalahan mulut sudah reda, namun mangsa sekali lagi dikejutkan dengan kedatangan kali kedua rakan niaganya itu dengan membawa seorang anak lelakinya sebelum bertindak menolak pakaian di gerai terbabit.

Tidak cukup dengan babak kedua, rakan niaganya itu kemudian mendapatkan bantuan seorang anak gadisnya yang turut ‘campur tangan’ dalam masalah terbabit, sebelum menyerang mangsa.

Menceritakan kejadian itu, Noradidah berkata, dia bagaikan tergamam kerana hanya mampu mempertahankan diri menggunakan kedua-dua tangan kerana diserang dua beranak yang memukulnya di kedai.

“Mula-mula memang kami berperang mulut. Susulan itu, wanita terbabit menolak saya menyebabkan gelang tangan tercabut. Sebaik beredar setengah jam kemudian, wanita itu datang bersama anak lelakinya dan menolak pakaian dalam kedai.

“Saya sekali lagi didatangi wanita itu dengan seorang anak perempuannya berusia sekitar 20-an, sebelum menumbuk dan memukul. Meskipun membalasnya menggunakan tangan, tetapi dalam keadaan mata tertutup,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Kota Bharu, semalam.

Noradidah berkata, ekoran kejadian itu, dia terpaksa menghubungi adik tirinya, Tuan Muhamad Shahiran Tuan Lah, 28, untuk mendapatkan bantuan kerana diserang di kedainya.

“Terlintas dalam fikiran saya untuk menghubungi adik, ketika kami sedang berbalah mujur adik sampai dan meleraikan pergaduhan. Bayangkan ketika itu, muka saya tertutup dengan kain tudung dan tidak boleh berbuat apa-apa.

“Kecederaan di bahagian muka dengan kesan cakaran serta tumbukan dilakukan pasangan anak beranak terbabit menyebabkan saya mengambil keputusan membuat laporan polis,” katanya.

Sehubungan itu, Noradidah yang ditemani adik lelakinya membuat laporan berhubung kejadian berkenaan di Balai Polis Kota Bharu, pada jam 11.30 pagi, semalam.

Mangsa yang sakit di bahagian leher akibat perkelahian terbabit segera mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), pada jam 12.30 tengah hari.

Noradidah yang diajukan mengenai punca sebenar perkelahian antara dia dengan rakan niaganya itu berkata, tindakannya menjual tudung menimbulkan kemarahan wanita terbabit.

“Masalah terbabit sudah berlaku sejak setahun lalu. Dia marah saya kerana jual tudung sama dengan apa yang dijualnya. Ini kerana dia menjual tudung dulu, sebelum saya yang menjual pakaian turut menjual barangan sama.

“Kemarahan yang berlaku sebelum puasa tahun lalu berlanjutan pada bulan Ramadan tahun sama, sebelum kemuncak kemarahan mereka berlanjutan sehingga meletus pagi semalam,” katanya.

No comments:

Post a Comment