Search This Blog

Sunday, May 9, 2010

Pengawal keselamatan mati dibunuh

SHAH ALAM: Seorang pengawal keselamatan yang baru mendapat gaji pertama ditemui mati dengan kepala dan mukanya pecah di rumah sewanya di Jalan Pegaga U12/5, Seksyen U12 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dibunuh oleh orang yang kenalinya.

"Ketika ditemui mangsa hanya berseluar panjang dan bahagian kepala serta mukanya pecah berlumuran darah dipercayai akibat dipukul dengan objek keras.

"Kami juga menemui sebatang besi panjang yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa di seberang jalan rumah itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Mohd Zambrizal yang berasal dari Sandakan, Sabah, tinggal bersama empat lagi rakan sekerjanya di rumah yang disediakan majikan mereka. Semalam dia bekerja syif malam dan tamat syif bekerja pada jam 8 pagi ini.

Nor Azam berkata, ketika kejadian, tiga rakan serumah mangsa berada di tempat kerja mereka di sebuah kilang di Bukit Raja, Klang, manakala seorang lagi yang dicari penyelianya pagi ini kerana tidak masuk bertugas, masih gagal dikesan sehingga kini.

Mayat Mohd Zambrizal dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan polis kini melancarkan gerakan mengesan seorang rakan serumahnya bagi membantu siasatan.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-Bernama

No comments:

Post a Comment