Search This Blog

Monday, May 3, 2010

Penempatan baru pendatang asing diserbu



KUALA LUMPUR 2 Mei - Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lari daripada serbuan pihak berkuasa telah membina penempatan baru di atas bukit berhampiran tapak pembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta di sini.
Mereka yang dikatakan terdiri daripada 40 orang warga Indonesia dan Bangladesh dipercayai membina penempatan baru itu setelah tempat persembunyian mereka di kawasan hutan Bukit Segambut diserbu pada 11 Mac lalu.
Polis yang meneruskan usaha memburu pendatang asing terbabit menemui sejumlah 20 buah khemah kanvas yang dibina di kawasan tapak pembinaan Istana Negara itu awal pagi semalam.
Dipercayai kumpulan pendatang asing itu sudah mula menduduki kawasan penempatan haram tersebut sejak lebih sebulan lalu.
Sumber polis ketika dihubungi memberitahu, kesemua PATI terbabit bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan istana baru di bawah bukit di kawasan itu.
Bertindak daripada maklumat tersebut, polis menyerbu kawasan penempatan pendatang asing itu kira-kira pukul 3 pagi semalam.
"Serbuan dilakukan oleh 31 anggota polis dari Balai Polis Travers ketika penghuni penempatan terbabit sedang nyenyak tidur.
"Bagaimanapun, kehadiran polis berjaya dihidu oleh mereka menyebabkan ramai yang sempat melarikan diri," kata sumber itu.
Beliau memberitahu, hanya 13 PATI iaitu tujuh warga Indonesia dan enam Bangladesh berjaya diberkas.
Katanya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20-an dan 30-an didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Menurut sumber itu, PATI terbabit hanya menjadikan khemah-khemah itu sebagai tempat tidur pada waktu malam dan keluar bekerja pada waktu siang.
Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment