Search This Blog

Monday, May 3, 2010

Peluru dalam tulang belakang


Peluru dalam tulang belakang 

KLANG - Belum reda insiden seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak anggota polis, seorang pemuda tampil membuat kenyataan berhubung kes yang hampir meragut nyawanya tahun lalu. 

Shahril Azlan Ahmad Kamil, 25, mendakwa kejadian pada April 2009 itu berlaku di Seksyen 7, Shah Alam dalam satu sekatan jalan raya sekitar jam 12 malam bersama empat rakannya yang lain. 

Menurutnya, beliau memberhentikan kereta di bahu jalan akibat panik kerana menyedari cukai jalan kenderaan miliknya itu telah tamat tempoh namun secara tiba-tiba dua das tembakan dilepaskan ke arah beliau dan rakan-rakannya yang lain dalam kereta itu. 

“Satu das datang dari arah kiri dan menembusi rusuk saya serta anggota polis berkenaan datang memecahkan cermin kereta sambil mengacukan pistol untuk meminta kami keluar. 

“Saya bertanyakan apa kesalahan yang menyebabkan saya ditembak namun anggota polis berkenaan berlalu meninggalkan saya yang dalam keadaan kesakitan di situ,” katanya. 

Shahril berkata, selepas itu seorang pegawai polis yang turut ada di tempat kejadian datang dan terkejut melihat beliau yang berlumuran darah akibat terkena tembakan itu. 

Menurutnya, beliau dibiarkan hampir dua jam sebelum ambulans tiba dan beliau di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) namun dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat keadaannya yang serius. 

“Doktor mengesahkan tembakan itu mengenai rusuk dan peluru itu masih berada di dalam tulang belakang sehingga kini. Pihak hospital juga memaklumkan risiko untuk mengeluarkan peluru itu agak tinggi dan berkemungkinan saya boleh lumpuh jika dikeluarkan,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata,beliau akan membawa perkara ini ke mesyuarat Exco untuk tindakan selanjutnya. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri memandang serius kes ini kerana ia melibatkan soal nyawa dan akan membantu menyediakan khidmat guaman kepada Shahril kelak. 

“Pengadu kini tidak mampu lagi bekerja secara berlebihan akibat peluru yang masih berada di dalam tulang belakangnya. Malah beliau juga mengalami trauma akibat kejadian itu. 

"Lebih menghairankan, kes berkenaan seolah-olah senyap tanpa ada tindakan daripada polis untuk menyiasat anggota mereka yang bertindak sedemikian,” katanya.

No comments:

Post a Comment